WANIE Kayrie. FOTO IG
WANIE Kayrie. FOTO IG
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi Wani Kayrie, 21, menegaskan dia takkan lagi bersedih mahu pun menutup seketika akaun media sosialnya jika  menerima sebarang kecaman yang teruk daripada netizen selepas ini.

Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah berkata dia yakin diri semakin matang dan mampu mengendalikan emosi sebaik mungkin apabila berhadapan dengan setiap kecaman mahu pun kritikan pedas itu.

"Saya pasti, diri makin matang dan semangat pun kental. Namun, tak dinafikan pada tahun lalu saya pernah menutup akaun Tik Tok seketika kerana terlalu sedih dan tidak kuat emosi menerima kritikan netizen yang mengecam video tarian saya dengan mekap gelap hingga mencetus kontroversi dan tular.

"Apa pun, untuk tahun ini sekiranya saya berhadapan lagi dengan kecaman teruk sebegitu, biarlah dengan apa yang mereka (netizen) nak kata. Saya tak mahu mempedulikannya lagi.

"Malah, meski berdebar menunggu reaksi penonton untuk lakonan saya sebagai Fatin yang antogonis dalam drama Melastik Ke Hatimu yang disiarkan TV3 nanti, saya sudah bersedia," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Wani, sama ada watak berkenaan akan menyebabkan dia dikecam teruk atau pun tidak, semuanya biar penonton yang nilaikan.

"Untuk saya, Insya-Allah sudah bersedia berhadapan apa sahaja situasinya nanti kerana apa yang pasti keluarga, ibu bapa serta rakan-rakan rapat tetap menyokong saya.

"Lagi pun, pengalaman perit dihadapi pada tahun lalu banyak memberi saya pengajaran. Terutama, tidak semua orang akan dapat terima dengan baik dan positif pada apa yang dilakukan. 

"Kepada yang nak mengecam nanti, biarlah kerana sekarang ini, pengaruh media sosial sangat besar dan orang lain juga terbuka untuk menulis komen apa sahaja meski ada antaranya pasti melukakan hati," katanya.

Menurut Wani, dia akan positif dan berusaha cekalkan diri. Katanya selain drama Melastik Ke Hatimu, dia juga berdebar menanti reaksi penonton pada drama Dayang Senandung lakonannya untuk tayangan RTM.

Bagi kerjaya nyanyian pula, tahun lalu Wani baharu muncul dengan lagu berjudul Aksara Cinta hasil ciptaan penyanyi terkenal dan komposer berbakat, Hael Husaini bersama Ezra Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 12:28 PM