TAKDIR Yang Tertulis, cetus fenomena.
TAKDIR Yang Tertulis, cetus fenomena.
Norhayati Nordin


MESKI sudah habis tayangannya, dua drama disiarkan TV3 iaitu Takdir Yang Tertulis dan Melastik Ke Hatimu yang mengisi slot Samarinda serta Lestary ternyata menjadi tarikan penonton.

Drama Takdir Yang Tertulis yang menjadi fenomena di slot Samarinda berjaya meraih 5 juta penonton pada episod akhir, manakala, 9 juta penonton untuk tayangan sepanjang 15 episod.

Begitu juga dengan drama Melastik Ke Hatimu di slot Lestary, menarik minat 5 juta penonton pada episod akhir dan 10 juta penonton sepanjang bersiaran selama 13 episod.

Sumber 'rating' menerusi Nielsen 2021 itu, jelas menunjukkan drama Takdir Yang Tertulis terbitan Radius One Sdn Bhd dan Melastik Ke Hatimu diterbitkan Orangetree Sdn Bhd cukup mendapat maklum balas yang memberansangkan daripada penonton.

Kedua-dua karya ini yang mula disiarkan TV3 pada 21 Januari lalu turut membuat penonton berharap pihak penerbit akan menghasilkan sekuel kerana diakui jalan ceritanya yang bagus dan lakonan pun mantap.

Menurut Pengarah Kumpulan Jenama, Kandungan dan Strategi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Sherina Nordin, penghasilan sebuah drama yang baik sudah cukup mencabar sebenarnya, apatah lagi untuk menghasikan karya yang digemari oleh penonton sehingga tular di media sosial untuk setiap episod.

"Pujian ini wajib saya tujukan kepada seluruh tenaga produksi dan barisan pelakon yang menjayakan dua drama berkenaan.

MELASTIK Ke Hatimu, jadi tarikan penonton.
MELASTIK Ke Hatimu, jadi tarikan penonton.

"Dari segi pengarahaan yang bijak dalam pengolahan watak dan penceritaan, penulisan yang baik untuk menghasilkan plot cerita serta keberkesanan pelakon menzahirkan watak-watak yang dibawa.

"Dengan kejayaan dua drama ini, membuktikan bahawa industri drama tanah air tidak ketandusan idea bagi memenuhi citarasa penonton," katanya.

Sherina berkata sebagai sebuah stesen televisyen, pihaknya sentiasa berkobar-kobar untuk bekerjasama dengan bakat-bakat produksi hebat dalam menghasilkan drama yang dekat dengan kehidupan seharian masyarakat.

Kini, bagi meneruskan kesinambungan kejayaan itu, drama baharu berjudul Semua Salahku yang diterbitkan A Aida Production sudah mengisi slot Lestary.

AKU Yang Kau Gelar Isteri, kini  mengisi slot Samarinda.
AKU Yang Kau Gelar Isteri, kini mengisi slot Samarinda.

Karya tidak kurang hebat yang pernah ditayang itu, kembali semula menemui penonton pada 12 Februari lalu dengan gandingan lakonan hebat Fasha Sandha bersama Nafiz Muaz.

Semua Salahku mengisahkan Haris tinggal berdua bersama ibunya, Sofea selepas kematian bapa. Namun, Sofea perlu bekerja keras untuk menyara kehidupan mereka anak-beranak.

Bagaimanapun, keinginan Sofea untuk mengahwini suami kaya membuatkan dia menggunakan duit gajinya untuk bergaya dan mengabaikan keperluan Haris dan ibunya.

Haris pula bergaul dengan rakan yang salah dan mula merompak dan ditahan oleh pihak polis. Adakah Sofea sempat memohon keampunan dari ibunya dan bagaimana pula dengan nasib Haris?

SEMUA Salahku, drama baharu gandingan Fasha dan Nafiz di slot Lestary.
SEMUA Salahku, drama baharu gandingan Fasha dan Nafiz di slot Lestary.

Bagi slot Samarinda pula, ia digantikan drama Aku Yang Kau Gelar Isteri, arahan Shuhaimi Lua, terbitan Tanah Beris Film Production yang mula disiarkan pada 17 Februari lalu.

Drama yang mengetengahkan perbuatan khurafat ini mempunyai unsur seram, tetapi sarat dengan nilai pengajaran. Ia dibintangi Datuk Adi Putra, Nadia Brian dan Sharifah Sakinah.

Karya ini mengisahkan kehidupan keluarga bahagia pasangan suami isteri yang mempunyai dua orang anak, tiba-tiba bergolak dengan kehadiran wanita lain yang mahu membalas dendam.

Apakah usaha wanita berdendam itu menggunakan sihir berjaya? Mampukah perbuatan khurafatnya memecah belahkan kebahagiaan rumahtangga dibina pasangan suami isteri itu?

Semua persoalan ini ada jawapannya dalam drama Aku Yang Kau Gelar Isteri. Sehubungan itu, slot Lestary bersiaran setiap Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam, manakala slot Samarinda pula tayangannya dari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 6:30 AM