Norhayati Nordin

Meskipun memulakan kerjaya seni dalam bidang lakonan ketika kanak-kanak, namun bakat muda dikenali Melly Amalin, 21, akur namanya tidak begitu dikenali ramai.

Wanita tinggi lampai dan berkulit putih ini juga mengakui namanya tidak sehebat beberapa rakan seangkatan seperti pelakon Mia Sara Nasuha mahupun Puteri Balqis.

"Saya terbabit dalam lakonan sejak berusia 10 tahun dan pernah membintangi pelbagai drama termasuk filem. Bagaimanapun, saya sedar nama agak kurang menyerlah.

"Namun, dari segi bakat pula alhamdulillah saya sangat bersyukur sebenarnya kerana dikenali oleh sebilangan penggiat seni dan pengarah berkaliber tanah air. Bagi saya, ia sudah cukup memadai.

"Saya aktif berlakon sejak kecil dahulu kerana minat dan tak fikir pun nak popular. Tetapi, pada masa kini dilihat populariti agak penting terutama pengaruh di media sosial dengan jumlah pengikut perlu ramai," katanya.

Menurut Melly lagi, apa yang pasti baginya rezeki ditentukan Allah SWT. Lagipun, kini dia makin sedar kecintaan dalam dirinya amat besar terhadap bidang tarian dan mahu lebih serius.

Ujar penuntut Diploma Seni Tari di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini, dia juga selesa fokus utamanya lebih menjurus kepada pelajaran.

"Hingga kini, minat pada lakonan tetap ada dan tidak pudar, namun saya lebih banyak beraksi untuk iklan komersial di TV berikutan tawarannya boleh dibuat mengikut masa terluang.

"Setakat ini, rezeki saya alhamdulillah masih ada untuk berlakon iklan, tapi bergantung kepada tawaran dan jadual kerja yang tidak mengganggu pelajaran kerana menimba ilmu sangat diutamakan.

"Apapun, saya memang minat dengan tarian. Sejak kecil dahulu, ibu pun sudah menghantar saya belajar menari terutama tarian tradisional ketika berusia tujuh tahun," katanya.

Berbicara karier lakonannya, Melly berkata, dia pernah membintangi telefilem Olong bersama pelakon dan pengarah berkaliber, Sabri Yunus hingga berjaya melayakkannya tersenarai Top 5 dalam kategori Pelakon Drama Wanita Terbaik di Anugerah Skrin (ASK).

Walaupun tewas di tangan Puteri Balqis ketika itu, Melly tidak berasa kecewa dan mengakui kenangan pada 2013 berkenaan adalah memori terindah pernah diraih dalam kerjaya lakonannya.

Pada tahun lalu, Melly muncul dengan filem Butak lakonannya di samping pelakon Fimie Don dan Izuan Fitri sebagai watak

utama di bawah arahan Sabri lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 6:40 AM