KUMPULAN SM*SH dengan tujuh anggota pada 2010.
KUMPULAN SM*SH dengan tujuh anggota pada 2010.
Susunan Norhayati Nordin

Pengaruh muzik dari Korea Selatan bukan hanya menjadi tarikan peminat muzik di Malaysia, tetapi negara jiran seperti Indonesia juga berhadapan tempias kegemilangan irama K-Pop itu.

Pada 2010, kumpulan SMASH atau SM*SH dari Indonesia pernah popular dengan lagu I Heart You yang menampilkan imej dan muzik K-Pop dan mereka diminati ramai.

Kini, diam tak diam SM*SH sudah 10 tahun dalam kerjaya seni mereka. Kumpulan ini dianggotai tujuh pemuda iaitu Rafael Tan, Bisma Karisma, Dicky, Rangga Moela, Reza, Ilham dan Morgan.

Namun, kini SM*SH tidak seaktif dulu dan semua anggotanya dikhabarkan sudah membuat haluan masing-masing kerana ada yang bujang, sudah berkahwin dan bergelar duda.

Dalam satu laporan, Rafael yang dahulunya penyanyi dan ketua kumpulan SM*SH kini aktif dalam bidang pengacaraan.

Begitu juga Rangga yang makin kacak dan kini aktif sebagai pengacara, pelakon dan model peragaan.

TINGGAL berenam, SM*SH selepas 10 tahun dlm kerjaya seni
TINGGAL berenam, SM*SH selepas 10 tahun dlm kerjaya seni

Bisma yang dulu dikenali sebagai penari, masih tetap cintakan muzik dan kini fokus melancarkan lagu-lagu di saluran YouTube.

Dicky pula memilih cara sendiri yang ada kala muncul di media sosial dan ada ketika dia terus menghilang.

Reza yang pernah berkahwin dengan wanita pilihannya, Fabiola Elizabeth Agnes pada 2008 sudah bercerai dan kini duda yang mempunyai anak lelaki.

Tidak terkecuali, seorang lagi anggota SM*SH dikenali Ilham sudah berkahwin dengan Nadine Syahria dan memiliki seorang anak perempuan.

Sementara itu, Morgan yang meninggalkan kumpulan SM*SH pada 2013, kini aktif sebagai pelakon.

Selain lagu I Heart You, SM*SH yang pernah datang ke Malaysia pada 2012 dan 2013 untuk mempromosikan album mereka juga popular dengan lagu Senyum Semangat dan Ada Cinta.

Pada 2011, SM*SH yang mendapat jolokan persis 'kumpulan Big Bang' pernah menang lapan anugerah termasuk di Indonesia Kids Choice Awards.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 6:21 AM