SEVENTEEN
SEVENTEEN
Najiy Jefri

FENOMENA K-pop boleh dikatakan tular di seluruh dunia hingga memberi impak kepada industri muzik di Amerika Syarikat yang mempelopori industri itu.

Antara kumpulan yang mendapat sambutan paling hangat di dunia termasuk Bing Bang, BTS, Blackpink, EXO dan banyak lagi yang mengalahkan artis terkemuka negara Uncle Sam itu.

Di Malaysia, senario sama turut berlaku apabila muzik K-pop semakin diminati ramai dan mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Buktinya, menerusi platform pentsriman muzik Asia, JOOX mencatatkan peningkatan pendengar muzik K-pop dan menerima maklum balas yang baik daripada pengguna JOOX.

Menurut Ketua JOOX Malaysia, Angie Tan, pihaknya menyedari mengenai perkara itu dan melancarkan K-Pop Express JOOX sebagai salah satu inisiatif untuk menarik lebih ramai peminat genre muzik itu.

"Kami menyedari pengaruh muzik K-pop sudah menjadi fenomena dunia dan meraih permintaan tinggi. Impak ini juga, kami dapati pada kalangan pengguna JOOX.

"Oleh itu, beberapa bulan sebelumnya kami sudah melancarkan K-Pop Express JOOX di Malaysia dan di semua pasaran JOOX di Asia: IDOL STATION iaitu program K-pop yang pertama kali dihasilkan JOOX.

"Program strim mingguan ini memupuk hubungan yang lebih akrab antara peminat dan artis Korea kegemaran mereka. Barisan artis Korea secara tak langsung memberi kesempatan kepada peminat untuk melihat kehidupan peribadi mereka melalui rancangan realiti dan hiburan ini.

"Kumpulan K-pop yang terbabit dalam acara ini adalah SEVENTEEN, Nu'est, ONF dan Verivery. Idola ini sudah membawa peminat masing-masing untuk melihat keadaan di belakang tabir dan berinteraksi secara langsung dengan penggemar setia mereka melalui 'live chat', persembahan muzik dan tarian serta sambutan khas," katanya.

Biarpun muzik K-pop dilihat menerima permintaan tinggi, Angie bagaimanapun menjelaskan muzik Malaysia masih menerima permintaan yang luar biasa.

"Kami percaya dan sangat positif bahawa muzik Malaysia masih sangat kompetitif dalam industri hiburan kerana JOOX menyaksikan muzik yang paling banyak distrim oleh pengguna Malaysia adalah lagu berbahasa Inggeris diikuti lagu Melayu, lagu Korea dan lagu Cina.

"Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi maklum balas yang menggembirakan terhadap JOOX Malaysia menerusi Top Music Awards dan High5JOOX Online Concerts yang menerima maklum balas menggalakkan apabila hampir 100,000 pengguna JOOX sudah mengambil bahagian untuk mengundi lagu dan artis kegemaran mereka.

"Tidak hanya itu, High5JOOX Online Concerts yang menampilkan artis tempatan juga sudah menyaksikan 30,000 penonton dan mendapatkan 100,000 tanda suka daripada penonton," katanya.

Siapa sangka, platform JOOX mencatatkan pertumbuhan lebih daripada 223% pengguna aktif sepanjang lima tahun berada di Malaysia.

"Kesan dari era digital ini sangat memberangsangkan kepada pertumbuhan JOOX kerana JOOX Malaysia menunjukkan pertumbuhan lebih daripada 223% pengguna aktif selama lima tahun kebelakangan ini.

"Pasaran streaming muzik di Malaysia cukup ketara dan mengalami kenaikan menurut laporan Statista, pengguna striming mencapai 16.7% pada tahun ini dan dijangka mencecah 17.9% pada tahun 2024.

"Dalam industri ini, karaoke dan 'live streaming' adalah trend yang paling popular dan turut dapat dilihat di mana pengguna kami di Malaysia menikmati fungsi karaoke dan berinteraksi dengan penyanyi dan peminat karaoke yang lain," katanya.

ONF
ONF

Ditanya mengenai kesan baik dan buruk sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Angie berkata, pengguna JOOX sentiasa mencari idea untuk menghiburkan diri selain menghilangkan rasa bosan ketika berada di rumah.

"JOOX Malaysia mendapati bahawa pengguna JOOX semakin aktif mengambil bahagian dalam karaoke di aplikasi JOOX kerana jumlah masa yang dihabiskan dan nyanyian karaoke yang diterima oleh JOOX agak meningkat sejak beberapa bulan terakhir ini. Terutama jumlah masa bernyanyi karaoke oleh rakyat Malaysia dianggar meningkat sebesar 39% pada Februari dan Mac tahun ini.

"Melalui JOOX, karaoke kini menjadi hiburan yang lebih interaktif kerana tidak hanya sekadar menyanyi. Dengan banyaknya lagu karaoke yang tersedia, pengguna JOOX dapat mencari lagu Karaoke 'Mood of the Day' dan menyanyikan dengan sepenuh hati mereka.

"Kami juga mengadakan Pertandingan Karaoke Bertema setiap minggu dan menawarkan hadiah menarik untuk dimenangi, seperti wang tunai, 'JOOX Coins', barang cenderahati rasmi JOOX dan banyak lagi," katanya.

Bagi Angie, tahun ini juga dilihat sebagai tahun yang paling mencabar dalam industri hiburan dan mengharapkan lebih ramai pengguna menyertai JOOX sebagai solusi terbaik untuk mendapatkan muzik kegemaran mereka.

"Tahun ini adalah yang paling mencabar bagi industri hiburan dan kita dapat lihat bahawa perubahan daripada pelbagai bidang terutama melalui aspek operasi perniagaan hingga amalan dan tingkah laku pengguna.

"Pandemik Covid-19 ini mungkin sudah menghalang konsert artis, tetapi 'streaming' secara langsung memberikan harapan kepada mereka untuk dapat berkembang lebih pesat. Fokus JOOX pada tahun depan pula adalah bagaimana kami akan memainkan peranan dalam menyertai medan maya.

"Kami juga kini dalam usaha menganjurkan pertandingan Be The Star 2020 iaitu sebuah pertandingan pencarian bakat baharu yang dilancarkan di seluruh Malaysia.

"Dengan hanya mengirimkan video nyanyian karaoke Quick Sing, pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 serta berpeluang melancarkan lagu di JOOX!," katanya.

Menurut Angie, lagu untuk pemenang yang berjaya itu akan dihasilkan kumpulan produksi profesional di bawah sebuah label muzik tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 6:40 AM