KUMPULAN Umbrella pada majlis sidang media pra dengar lagu berjudul HILANG. FOTO Rohanis Shukri
KUMPULAN Umbrella pada majlis sidang media pra dengar lagu berjudul HILANG. FOTO Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri


KEKAL relevan dalam industri bukanlah satu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi, bagi kumpulan yang sudah sekian lama tidak muncul dengan karya baharu.

Justeru, kumpulan Umbrella yang popular dengan lagu Ramalanku Benar Belaka dan pernah meniti zaman kegemilangan sekitar tahun 1990-an lalu, turut tidak menafikan perkara itu.

Terbaharu, Umbrella yang dianggotai Zarul, Hafizz, Rizal dan Saiful hadir dengan buah tangan terkini mereka berjudul Hilang selepas hampir sedekad tidak tampil menghasilkan karya.

Menurut Zarul yang kekal sebagai vokalis, sememangnya Umbrella sudah terlalu lama tidak hadir dengan lagu baharu dan nampak aktif dalam bidang muzik.

"Kali terakhir kami keluarkan lagu adalah sekitar 2011 berjudul Sayang Bersebab hasil ciptaan Saari Amri. Selepas itu, tidak ada lagi karya baharu daripada kami.

"Jadi, selepas perbincangan sesama anggota kumpulan, kami buat keputusan untuk membuat kemunculan semula menerusi karya berjudul Hilang ini," kata Zarul sebagai wakil kumpulan.

Tambahnya, walaupun arus peredaran muzik tanah air kini bergerak dengan pantas, muzik berentak ala 1990-an masih lagi mendapat sambutan hangat daripada peminat hiburan.

"Kalau dilihat kepada corak muzik, ia (lagu era 1990-an) masih lagi mendapat sambutan peminat, termasuk meraih perhatian ramai terutama menjadi pilihan pada kalangan penyanyi 'budak baru nak up' (BBNU).

ZARUL ketika mengadakan persembahan bersama kumpulan Umbrella. FOTO Rohanis Shukri
ZARUL ketika mengadakan persembahan bersama kumpulan Umbrella. FOTO Rohanis Shukri

"Sehubungan itu, apabila Saiful bertemu saya dan meluahkan hasrat untuk Umbrella tampil semula keluarkan satu lagu baharu, terus saja saya setuju," katanya.

Apa pun, selepas dua minggu dilancarkan ternyata, video muzik lagu Hilang mula meraih perhatian apabila mencatat jumlah lebih 240,000 tontonan di YouTube.

"Itu adalah satu pencapaian yang kami rasa, membanggakan kerana bukan senang untuk kumpulan yang dah lama menyepi meraih jumlah tontonan video muzik di YouTube sebanyak itu.

"Mungkin juga sekarang, kebanyakan peminat kami sudah beralih arah kepada platform digital dan itu secara tak langsung membantu jumlah tontonan meningkat," katanya.

Selain itu, salah satu strategi yang digunakan Umbrella untuk memastikan nama mereka terus relevan adalah tampil dengan imej yang lebih matang.

"Berbanding dulu, imej kami sekarang perlu sesuai dengan usia masing-masing dan tampak lebih matang. Alhamdulillah, ada juga tajaan yang kami terima dan sesuai dengan kehendak," katanya.

Pernah mencatat jumlah jualan album sehingga melebihi 100,000 unit menerusi album Seribu Rahmat, Umbrella berharap agar kehadiran semula mereka dapat diterima baik oleh peminat.

"Kalau dapat sokongan daripada mereka yang pernah membeli album kami suatu ketika dulu pun, itu sudah cukup memadai dan membuat kami gembira.

"Tapi pada masa sama, kami juga mengharapkan semoga kemunculan semula Umbrella ini dapat diterima oleh golongan peminat generasi baharu," katanya.

Lagu Hilang adalah karya ciptaan komposer Shouk Azis bersama tiga gandingan komposer muda berbakat besar, iaitu Bidin Alzaifa, Zabbe Zharin dan Riff.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 6:25 AM