RIZKY BILLAR
RIZKY BILLAR
Agensi

 

Jakarta; Selain hubungan cinta pasangan Youtuber, Atta Halilintar dan Aurel Hermansyah mencuri perhatian ramai warga Indonesia, hal sama juga dihadapi pelakon Rizky Billar, 26, dan penyanyi dangdut, Lesti Kejora, 22, yang kini khabarnya merancang bernikah.

Bahkan, beberapa hari lalu heboh pada kalangan warganet di negara jiran itu, berkaitan perkongsian foto gaun pengantin rona putih dibuat Ivan Gunawan di Instagram miliknya yang menulis, benarkah untuk Lesti Kejora?

Semalam, melalui saluran YouTube penyanyi Armand Maulana, 'bakal pengantin lelaki', Rizky tampil menyuarakan hasrat mahu menikahi Lesti pada hari Jumaat. Namun, tidak dimaklumkan tarikhnya.

"Insya- Allah, jika sampai jodohnya nanti (dengan Lesti), saya mahu acara nikah kami berlangsung pada hari Jumaat. Ia 'penghulu' segala hari dan kisah yang berlaku pada kami juga banyak kaitannya dengan hari Jumaat.

 "Hari Jumaat sangat membawa berkat buat saya, begitu juga dengan Lesti. Saya hadir pada majlis perkahwinan sahabat baik yang dikatakan 'mantan', Dinda Hauw pada hari Jumaat. Lesti juga pergi ke majlis perkahwinan bekas kekasihnya, hari Jumaat.

"Pertemuan pertama saya dan Lesti dalam program bual bicara One Man Show di Indosiar, itu juga ditayang pada Khamis malam Jumaat. Malah, kami akhirnya rasmi sebagai pasangan kekasih diumum pada hari Jumaat," katanya.

Kemunculan Rizky di saluran YouTube Armand Maulana itu, turut menjelaskan perkara sebenar berkaitan hubungannya dengan Dinda. Katanya, dia dan Dinda memang tidak pernah bercinta dan mereka hanya teman rapat.

"Selama ini, saya tidak pernah kata atau menyebutkan Dinda itu sebagai mantan kekasih. Bagaimanapun, saya hadir pada majlis perkahwinannya ketika dia bersiap-siap mahu melempar bunga.

"Namun, dia (Dinda) tidak lempar bunga itu dan terus diberikannya kepada saya. Pada hal, bekas kekasih sebenar dia pun ada ketika itu, tetapi Dinda memilih saya sebagai penerima bunganya," kata Rizky.

Ujar Rizky, situasi yang berlaku di majlis perkahwinan Dinda itu, akhirnya menyebabkan namanya menjadi tular di media sosial dan berterusan dikait pula dengan Lesti, yang mana tindalan mereka dikagumi ramai kerana berani menghadirkan diri pada majlis pernikahan bekas kekasih.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 10:44 AM