ZAINUDDIN ketika sidang media gabung anak seni - akta finas 1981, relevan yang terbatal? di Kota Damansara. FOTO OWEE AH CHUN.
ZAINUDDIN ketika sidang media gabung anak seni - akta finas 1981, relevan yang terbatal? di Kota Damansara. FOTO OWEE AH CHUN.
Ridzuan Abdul Rahman


KEGHAIRAHAN penerbit filem Townmall, Zainuddin Mohd Ismail yang mahu melihat filem pertamanya mendapat sambutan seperti filem lain iaitu Syif Malam Raya dan Manap Karaoke bertukar sebaliknya apabila filem terbabit dijual dengan harga serendah RM1 menerusi sebuah laman e-dagang terkenal.

Zainuddin yang menerbitkan filem itu menerusi syarikatnya Enuja Production berkata, dia mengambil keputusan menayangkan filem arahan Datuk Seri Eizlan Yusof itu di Astro First selepas mendapat tawaran daripada mereka.

"Mereka menawarkan kontrak untuk tayangan selama tiga bulan bermula 25 Jun dan saya bersetuju. Siapa yang tak nak duit dan tak nak berniaga.

"Lagipun urusan promosi dan pemasaran semuanya dibuat oleh Astro First dan secara tak langsung nama syarikat saya pun naik juga.

"Baru seminggu ditayangkan, saya dikejutkan dengan berita filem ini sudah disiarkan diaplikasi Telegram. Saya dan pekerja segera masuk ke saluran ini dan mendapati ia benar," katanya kepada Harian Metro.

Zainuddin berkata, dia sudah membuat laporan polis pada 3 Julai lalu bagi menjaga kepentingan filem terbabit.

"Selepas itu saya mendiamkan diri kerana memilih untuk menghebahkan perkara ini selepas sambutan Aidiladha.

"Bagaimanapun Ellie Suriaty dan Gibran Agi menjemput saya hadir ke majlis ini bagi menjelaskan apa yang berlaku kepada media.

"Orang hanya tahu perkara ini berlaku kepada filem Keluarga Iskandar dan Ada Apa Dengan Dosa (AADD) sebaliknya filem saya juga turut jadi mangsa," katanya yang ditemui ketika hadir pada majlis sidang media Gabung Anak Seni- Akta Finas 1981. Relevan Yang Terbatal? di Bunga Lawang Cafe, Kota Damansara di sini.

AHLI panel yang hadir, Gibran Agi Abdul Ghaffar (dua kanan) bersama Ellie Suriaty Omar (kanan) ketika sidang media gabung anak seni - akta finas 1981, relevan yang terbatal? di Kota Damansara. FOTO OWEE AH CHUN.
AHLI panel yang hadir, Gibran Agi Abdul Ghaffar (dua kanan) bersama Ellie Suriaty Omar (kanan) ketika sidang media gabung anak seni - akta finas 1981, relevan yang terbatal? di Kota Damansara. FOTO OWEE AH CHUN.

Zainuddin berkata, polis sudah membuat siasatan dan bercadang melanjutkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita perlu tahu siapa yang buat kerja ini dan siapa dalangnya. Sesiapa yang bersalah mesti dihukum.

"Kami ada bahan bukti filem ini dijual menerusi platform e-dagang dan saya sempat 'save' dalam pendrive. Malah resit pembayaran pun saya ada simpan.

"Semuanya saya sertakan kepada polis dan seterusnya diserahkan kepada peguam saya. Selain itu, saya juga bertanyakan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Biarpun kecewa, Zainuddin terpaksa menerima hakikat perkara itu sudah berlaku.

"Saya sasarkan sekitar 100,000 penonton untuk filem ini pun dikira alhamdulillah, tapi apabila berlaku perkara ini, kutipannya memang teruk.

"Filem ini akan ditayangkan di pawagam pada 1 Oktober nanti. Ini filem pertama syarikat saya dan belum balik modal lagi.

"Penat buat kerja, bertungkus lumus siang malam buat kesan khas dan proses suntingan makan masa setahun, akhirnya jadi begini," katanya.

Zainuddin berkata, dia sebenarnya merancang untuk menghasilkan sekuel filem itu pada masa akan datang.

"Ikutkan Townmall ini akan ada bahagian kedua kerana jalan ceritanya tergantung. Kalau tengok novel pun ada bahagian kedua dan ketiga.

"Saya fikir daripada pulangan filem ini akan dijadikan modal sambungannya. Tapi dah jadi begini memang agak perit juga.

"Apapun saya tetap akan terus berkarya tanpa mengalah. Harapnya orang-orang kita sokong filem tempatan," katanya.

Filem genre seram itu menampilkan pelakon Datuk Jalaludin Hassan, Adam Shahz, Reen Rahim dan Intan Ladyana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 9:36 AM