KUMPULAN BTS.
KUMPULAN BTS.
Agensi

 

LEBIH 756,000 penonton dari 107 negara di seluruh dunia menstrim konsert dalam talian BANG BANG CON: The Live oleh kumpulan BTS yang berlangsung semalam.

Sekali gus, konsert berdurasi hampir dua jam yang dipancarkan dari sebuah studio di Seoul, Korea Selatan itu menjadi konsert berbayar paling berjaya dari segi tontonan.

Menurut agensinya Big Hit Entertainment, jumlah tontonan itu menyamai angka untuk 15 buah konsert yang diadakan dalam stadium membuktikan percaturan BTS menjadi.

"Meskipun industri konsert berdepan kesukaran sepanjang tempoh pandemik Covid-19, BTS berjaya membuka mata bahawa konsert dalam talian memang berhasil," demikian kenyataan itu.

Kumpulan berkenaan sepatutnya mengadakan siri jelajah, Map of the Soul tahun ini namun tarikh yang dijadualkan pada April hingga September terpaksa ditunda.

Sewaktu konsert itu, anggotanya, V berkata mereka sangat berharap dapat kembali mengadakan konsert secara langsung selepas ini demi peminat mereka yang digelar ARMY.

"Saya harap kami dapat buat konsert sebenar tidak lama lagi. Saya ingin menatap ARMY dengan mata saya sendiri," katanya.

Biarpun sekadar berlangsung dalam studio, konsert terbabit mendapat pujian daripada pelbagai aspek termasuklah pementasan produksinya yang cukup mengagumkan.

Ibarat konsert sebenar, penggunaan pentasnya dibuat dengan begitu teliti dengan menampilkan pelbagai tema berbeza di ruang berlainan. BTS mempersembahkan 12 lagu dalam konsert itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 8:11 PM