AZHAN dan Catriona bersama sekumpulan peminat yang mendaki Bukit Kutu baru-baru ini.
AZHAN dan Catriona bersama sekumpulan peminat yang mendaki Bukit Kutu baru-baru ini.
Syafil Syazwan Jefri


MENJADI pelakon tidak hanya memberikan peluang untuk beraksi dan menghiburkan penonton di kaca TV semata-mata, sebaliknya boleh juga menjadi inspirasi kepada ramai orang.

Bagi dua pelakon yang juga sahabat baik, Azhan Rani dan Catriona Ross, mereka bukan sekadar mahu dikenali menerusi lakonan masing-masing tetapi ingin menjadi contoh buat peminat.

Justeru, Azhan dan Catriona baru-baru ini menjalani latihan mendaki gunung di Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu bersama sekumpulan peminat mereka.

Azhan yang dikenali dengan watak antagonis sebagai Ustaz Syed Hamadi dalam drama Nur di TV3 meluahkan rasa teruja dirasai untuk menawan puncak Gunung Siguniang di China tidak lama lagi.

“Saya sangat teruja dan pada masa sama, tak sabar untuk menawan Gunung Siguniang. Sebelum ini, saya dah sampai ke Everest Base Camp (EBC).

“Jadi, untuk cabaran pendakian kali ini saya mahu cuba nasib di lokasi lain pula. Harapan saya semoga misi disertai berjaya,” katanya.

CATRIONA (dua dari kanan) ketika mendaki Bukit Kutu.
CATRIONA (dua dari kanan) ketika mendaki Bukit Kutu.

Bagi Catriona pula, dia akan cuba dengan semangat kental di hati untuk menawan EBC yang ketinggian lebih 5,000 meter seperti pernah dilakukan Azhan.

“Jujur diakui, aktiviti pendakian ini adalah sebagai inspirasi dan motivasi kerana sebelum ini saya pernah terbabit dalam kemalangan dahsyat dan hampir lumpuh.

“Selain mencabar diri sendiri, saya juga ingin menyuntik semangat buat mereka di luar sana yang mungkin pernah berdepan situasi sama untuk terus bangkit dan jangan mudah patah semangat,” katanya.

Cabaran pendakian dilakukan bukan sekadar suka-suka dan menimba pengalaman semata-mata tetapi bagi membantu menambah dana untuk anak-anak autisme.

Antara aktiviti lain yang mengisi jadual latihan Azhan dan Catriona adalah sesi perkongsian pengalaman oleh Ketua Pendaki Everest 2013 anjuran Felda, Anisah Sharuddin.

Turut memeriahkan sesi latihan itu Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Rekreasi Malaysia (PJRM), Md Ali Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 6:14 AM