AIMAN dan Zahirah mahu buat kejutan Khamis ini, FOTO NSTP
AIMAN dan Zahirah mahu buat kejutan Khamis ini, FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


"TUNGGU saja dan lihat. Ia adalah satu detik yang besar buat kehidupan saya. Saya bukan nak berahsia, tapi biarlah ia menjadi kejutan," kata pelakon jelita, Zahirah MacWilson, 25, mengenai majlis pernikahannya dengan tunang, Aiman Hakim Redza yang dikatakan akan berlangsung, Khamis ini.

Zahirah ketika ditemui bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan mengesahkan tarikh itu yang juga tarikh cantik iaitu 20022020.

Dalam pada itu, undangan majlis persandingan kedua-duanya sudah mula diedarkan dan akan berlangsung Jumaat ini di Glamhall, Mercu Mustapha Kamal, Damansara Perdana di Petaling Jaya jam 7.45 malam.

Ditanya mengenai perasaannya menjelang tarikh keramat itu, Zahirah mengakui teruja untuk menjalani fasa baru dalam kehidupannya itu.

"Ya, saya teruja. Ia adalah perjalanan dan cabaran baru yang akan saya tempuhi," katanya.

Zahirah juga memaklumkan tidak akan ada sebarang majlis sidang media yang akan diadakan untuk pengumuman tarikh majlis pernikahannya.

Menurutnya, dia sendiri melakukan persiapan sepenuhnya untuk majlis itu tanpa sebarang tajaan.

"Saya bersyukur kerana ada pasukan pengurusan yang sangat bagus dan kami uruskan sendiri mengenai persiapan majlis itu nanti," katanya.

Zahirah juga mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sendiri memberikan komen dan ucapan positif buatnya.

Zahirah berkata demikian sebagai mengulas mengenai foto yang dikatakan foto pra-perkahwinan lengkap dengan tanda pagar gabungan nama serta tarikh 20 Februari yang dimuatnaiknya bersama Aiman di Instagram.

Pasangan itu mula mengenali satu sama lain sejak hampir empat tahun lalu dan mula rapat pada November 2018.

Kedua-duanya mengikat tali pertunangan pada Jun tahun lalu di Australia.

Pelakon itu ditemui di majlis pelancaran filem Bulan & Pria Terhebat yang bakal ditayangkan pada 12 Mac 2020.

Selain Zahirah, filem ini juga turut dibintangi barisan pelakon hebat antaranya, Zizan Razak, Maya Karin, Khir Rahman, Bell Ngasri, Alif Hadi dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 7:08 PM