MARSHA (kanan) pada majlis sambutan ulang tahun ke-41 penyanyi, Siti Nurhaliza. FOTO Ihsan IG Marsha
MARSHA (kanan) pada majlis sambutan ulang tahun ke-41 penyanyi, Siti Nurhaliza. FOTO Ihsan IG Marsha
Georgie Joseph

DISEBABKAN gambar yang memperlihatkan dirinya memiliki ‘baby bump’, penyanyi dan pelakon, Marsha Londoh disangka hamil.

Marsha, 35, atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh bagaimanapun menafikan perkara itu dan menjelaskan kembung perut selepas makan banyak pada majlis sambutan ulang tahun ke-41 penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza baru-baru ini.

“Apabila tengok komen pengikut, saya cuma mampu ketawa. Saya merasa lucu apabila mengenangkan kembali jumlah makanan saya makan sehingga kembung perut.

“Apapun, teruskan mendoakan untuk saya dan suami menimang cahaya mata. Mungkin kalau doa saya dan suami digabungkan dengan semua orang, doa termakbul,” katanya kepada Harian Metro.

Isteri kepada Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail itu berkata, dia tidak ambil hati dengan soalan mengenai zuriat sebaliknya bersyukur suaminya sentiasa menasihatkannya untuk berfikiran positif.

“Saya sudah lali dengan situasi dan persoalan ini disebabkan saya kelihatan berisi sedikit. Jadi, orang menjangka saya hamil. Mungkin juga ramai sudah tidak sabar mahu melihat wajah bakal cahaya mata saya membuatkan mereka tertanya-tanya.

”Diakui pada awalnya saya sedikit tertekan dan merasa soalan itu seperti memerli saya pula. Namun, suami selalu nasihatkan saya untuk terus berfikir positif dalam apa jua dugaan dan cabaran,” katanya.

Terdahulu, penyanyi Bimbang itu pernah mendedahkan dia ada menjalani beberapa rawatan seperti mengurut. Namun, rezeki belum berpihak kepadanya untuk dikurniakan cahaya mata.

Marsha dan Shaiful berkahwin pada Disember 2015 di Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 6:14 PM