ASHRAF bersyukur Karnival Geng Masjid yang mengundang artis mendapat sambutan.
ASHRAF bersyukur Karnival Geng Masjid yang mengundang artis mendapat sambutan.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENGANJURAN Karnival Geng Masjid yang dibuat di seluruh negara mencapai matlamat apabila berjaya menarik kehadiran lebih 150,000 pengunjung ke pusat ibadah berkenaan sejak 2016.

Penerbit KGM Event, Ashraf Alam berkata, sokongan berterusan orang ramai amat dihargai terutama anak muda yang bersemangat tinggi mahu mengimarahkan masjid.

Bermula 2016 katanya, beberapa edisi bulanan dianjurkan sebelum sambutan tahun baru berlangsung di Masjid Puncak Alam, Selangor, yang dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung.

"Pada tahun berikutnya (2017), edisi ini giat dianjurkan di seluruh negara dengan sambutan tahun baru berlangsung di Masjid Bandar Seri Putra, Bangi.

“Sambutan ini amat memberangsangkan apabila dihadiri lebih 15,000 pengunjung," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, bagi sambutan tahun baru 2018 dan 2019 pihaknya menerima kehadiran masing-masing 40,000 dan 55,000 pengunjung pada penganjuran di Masjid Puncak Alam.

"Bagi sambutan tahun baru 2020, kami (KGM Event) akan menganjurkan karnival ini di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan pada 28 hingga 31 Disember ini. Sasaran diletakkan adalah peningkatan hingga 60,000 pengunjung.

"Pelbagai aktiviti diadakan termasuk kehadiran selebriti antaranya Ijam Medicine, Zul Handy Black, Ali XPDC, Radhi OAG, Inteam selain penceramah selebriti iaitu Pencetus Ummah (PU) Rahmat, Syamsul Debat, Imam Muda Asyraf dan Ustaz Don Daniyal," katanya.

Menurutnya, pengisian program adalah forum agama, pertandingan azan dan mewarna, konsert gema otai berbisa, wayang pacak, potong rambut percuma, sembang mualaf, aktiviti memanah dan banyak lagi.

Katanya, pihaknya setakat ini berjaya menganjurkan 21 edisi Karnival Geng Masjid tidak termasuk lima sambutan tahun baru. Karnival itu bertujuan mengajak orang ramai mengimarahkan rumah Allah selain membantu peniaga Muslim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 8:27 PM