Remy
Remy
Ardini Sophia Sina


BEBERAPA bulan lalu, pelakon terkenal, Remy Ishak mendedahkan tahap kesihatannya kurang memuaskan. Bagaimanapun, pelakon itu bersyukur kerana semakin pulih dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Menurut Remy, dia banyak meluangkan masa bersama rakan dan keluarga. Aura positif itu memberikan impak kepada dirinya sekali gus membantu kembali sihat.

“Saya semakin sihat dari segi mental dan fizikal. Ketika melalui fasa itu, saya mendapatkan khidmat rawatan moden dan tradisional.

“Saya juga luangkan masa bersama rakan dan keluarga. Alhamdulillah, ia membantu saya kembali sihat. Pembabitan dalam beberapa projek juga membantu saya fokus benda lain dan lupa seketika masalah dihadapi,” katanya.

Remy kini menjalani penggambaran drama Gadis Bukan Biasa iaitu drama bersiri yang diangkat daripada novel dengan judul sama dan ditayangkan sempena Ramadan tahun depan.

“Saya berganding dengan Ayda Jebat dalam drama itu. Kalau mahu tahu kisah yang ditonjolkan bolehlah baca novel itu terlebih dulu. Nanti boleh lebih faham mengenai jalan ceritanya nanti.

“Kalau bercakap mengenai konflik dalam drama itu, apa yang saya boleh katakan ia mengenai kekeluargaan. Sebab untuk tayangan Ramadan, pastinya ia juga membabitkan kehidupan,” katanya.

Hanya beberapa hari saja lagi melangkah ke tahun baharu, Remy bagaimanapun enggan meletak sebarang sasaran untuk dicapai sepanjang 2020.

“Saya tidak berani meletakkan harapan untuk tahun hadapan. Cuma, saya ingin menjadi lebih baik dan semoga lebih berjaya daripada apa yang sudah dikecapi.

“Dari segi kerjaya, ada beberapa tawaran filem. Bagaimanapun, saya masih meneliti dan memilih watak yang bersesuaian,” katanya.

Dalam pada itu, Remy yang turut hadir sesi uji bakat teater Puteri Gunung Ledang mengakui dia gementar, namun menganggap ia adalah proses biasa yang perlu dilalui mana-mana pelakon.

“Orang mungkin nampak ia perkara biasa untuk pelakon seperti saya, tetapi jujur, saya ‘seram’. Proses ini sebenarnya perkara biasa. Kalau diminta hadir uji bakat, mana-mana pelakon perlu datang.

“Bagi saya, tiada istilah pelakon baharu atau lama. Setiap kali berlakon dalam naskhah baharu, saya anggap diri sebagai orang yang baru belajar. Saya mahu dikenali sebagai pelakon ‘versatile’ dan tidak hanya sebagai pelakon hero romantik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 5:00 AM