Zaara Talita

Kuala Lumpur: "Belum ada rezeki lagi. Mungkin tahun hadapan sehingga selesai saya membawakan watak Zafran ini.

"Saya ketika tular cerita isteri hamil, pulang ke rumah menanyakan isteri berhubung perkara itu. Kata isteri, baju besar yang membuatkan orang membuat spekulasi."

Demikian kata pelakon Remy Ishak mengenai spekulasi isterinya, Ezza Yusof kini sedang hamil sekali gus menafikan perkara itu.

Cerita itu timbul apabila ada netizen mendakwa ternampak 'baby bump' dalam sebuah video milik isterinya.

"Dulu saya kurang percaya pada 'kenan' dan sebagainya, namun selepas bergelar suami ini perkara begitu wujud sebenarnya dan saya kalau boleh tidak mahu isteri hamil dulu.

"Malah, saya turut meluahkan rasa bimbang kepada Amyra yang mana karakter yang saya jayakan ini 'keras'. Sudah la pemarah, ego dan mendera anak yang cacat. Jadi takut terkenan pula jika isteri saya hamil.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan baik-baik buat saya dan isteri. Mungkin kerana saya juga sudah berkahwin beberapa bulan, jadi ada yang beranggapan begitu kerana bentuk baju isteri," katanya.

Terdahulu Remy ditemui pada sidang media secara dalam talian drama Jangan Menangis Cinta, hari ini.

Drama adaptasi novel Siti Rosmizah itu bakal bersiaran bermula 21 Mac ini di saluran Astro Ria jam 10 malam.

Selain Remy, drama penuh emosi dan air mata itu turut menampilkan Amyra Rosli selaku teraju utama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 1:56 PM