AIZAT ‘senyap’ seketika untuk cari idea baharu, mahu hasilkan lagu bertahan lama.
AIZAT ‘senyap’ seketika untuk cari idea baharu, mahu hasilkan lagu bertahan lama.
Oleh Ramlah Zainal


SEPI tanpa publisiti bukan bermaksud penyanyi dan komposer terkenal, Aizat Amdan sudah berhenti berkarya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Ke Hari Tua ini, dia juga sibuk mencipta lagu baharu dan terbabit dalam kerja di belakang tabir.

“Selepas pemergian bapa, saya memang berehat tiga bulan daripada bidang seni sebelum kembali mencipta lagu. Saya juga bukannya bersikap ‘low profile’, sebaliknya percaya bukan semua karya yang kita hasilkan orang akan suka. Apatah lagi artis atau lagu yang tular di laman sosial sudah menjadi trend dalam industri muzik ketika ini,” katanya.

Sebagai penyanyi dan komposer berpengalaman, Aizat mahu menghasilkan lagu yang boleh memberi impak dan bertahan lama.

“Contohnya, saya puas hati dengan sambutan lagu Sampai Ke Hari Tua yang sering dimainkan peminat dan menjadi pilihan pada majlis perkahwinan hingga sekarang.

“Apabila lagu ciptaan saya popular, saya percaya sesekali kena senyap seketika untuk mencari idea baharu. Selagi masih menjadi orang yang kreatif, saya tetap bersyukur kerana bukan sekadar buat lagu untuk diri sendiri, tetapi juga untuk penyanyi lain,” katanya.

Aizat ditemui pada majlis pelancaran siri jelajah Jimba Fest Tour 2019 di ibu pejabat Warner Music, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ia anjuran Warner Music Malaysia bersama Digi Telecommunications Sdn Bhd yang bakal menggegarkan enam lokasi terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia dari Oktober hingga Disember nanti.

Duet dengan bintang YouTube Indonesia

Terkini, Aizat bakal muncul dengan bingkisan tiga lagu baharu termasuk untuk pasaran antarabangsa.

Menurut Aizat, satu lagu untuk pasaran antarabangsa adalah duet dengan bintang YouTube Indonesia, Hanin Dhiya sekali gus untuk menembusi pasaran negara itu.

“Saya bertemu Hanin ketika kami sama-sama terbabit dengan kem penulisan lagu di Sweden, baru-baru ini. Saya memilih berduet dengannya kerana dia ada aura tersendiri dan kami ada keserasian ketika bekerjasama. Pada masa sama, dia juga bernaung di bawah pengurusan Warner Music Indonesia,” katanya.

Selain dua lagu untuk pasaran antarabangsa, kata Aizat, dia juga menghasilkan satu lagu bahasa Melayu yang juga single terbaharu berjudul Dop Dop untuk pasaran tempatan.

“Saya buat lagu ini bersama rakan, Mel Ramlan dan ada dua versi. Lagu ini juga diterbitkan di Sweden kerana saya mahukan kualitinya setanding untuk pasaran antara bangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 5:15 AM