TIGA pengasas Life Petal (dari kiri) Man, Zax dan Yusuf.
TIGA pengasas Life Petal (dari kiri) Man, Zax dan Yusuf.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


ERA kegemilangan muzik rock pada awal era 90-an menyaksikan band dari Singapura antaranya, Rusty Blade, Helter Skelter, Lovehunters dan Rockers diterima baik peminat Malaysia.

Populariti yang dikecapi mereka menjadi pembakar semangat dan pendorong band Life Petal meneruskan legasi untuk mencipta nama di negara ini.

Band yang menampilkan tujuh anggota itu tampil dengan konsep muzik dan corak perjuangan tersendiri malah amat menitikberatkan kualiti lagu serta bunyi.

Percaturan besar buat Zax Ramli selaku penyanyi utama, Farah (penyanyi kedua), Yusuf (gitar utama), Iskandar Jeff (gitar kedua), Din (bass), Man (keyboard) dan Lee (dram) apabila tampil dengan genre symphonic pop rock.

“Life Petal ditubuhkan secara rasmi pada 2014 dengan anggota bersilih ganti sehinggalah kekal dengan yang ada sekarang. Tujuh anggota ditampilkan kerana ini identiti tersendiri Life Petal yang muzik kami ada elemen orkestra.

“Kami juga ada dua vokalis. Muzik kami banyak dipengaruhi kumpulan The Rasmus, Muse dan kalau di Malaysia, Mojo serta IamNeeta.

“Life Petal tidak terikat kepada satu kumpulan kerana kami mahu melahirkan satu identiti dan bunyi yang lain daripada lain mengikut peredaran zaman,” kata Man selaku ketua kumpulan.

Enam tahun bergelar artis rakaman, Life Petal sudah menghasilkan empat single iaitu Permataku, Ikrar Cinta, Tika Bersama dan Pilu apabila semuanya ciptaan mereka sendiri.

“Lagu Permataku dirakam di sebuah studio di Kuala Lumpur, manakala yang lainnya dirakam di Singapura. Bagaimanapun, proses mastering lagu Pilu dibuat di Malaysia.

“Single Pilu sudah mula dimainkan di stesen radio milik RTM serta Cats FM dan sambutannya agak menggalakkan. Ia menggabungkan paduan suara Zax dan Farah.

“Lagu yang dicipta bersama seorang rakan ini sebenarnya sudah siap pada 2011, tetapi ketika itu saya belum ada kumpulan. Pernah juga saya cuba buat projek solo, tetapi tidak kesampaian. Apabila ditampilkan untuk Life Petal, saya ubah melodinya agar kena dengan konsep band ini,” kata Man.

Menurut Zax pula, mereka sudah lama teringin masuk pasaran Malaysia tetapi terpaksa melupakannya kerana kurang pengetahuan. Tambahan lagi, apa yang dilakukan sebelum ini lebih bersifat eksperimental.

“Namun, apabila lagu kami diterima baik oleh peminat menerusi medium atas talian, barulah kami bertekad mencuba nasib di sini. Kami bersyukur apabila Life Records sudi menjadi penerbit lagu Pilu.

“Pencapaian terbaik yang kami raih sebelum ini ialah apabila pemain dram cilik, Nur Amira Syahira buat ‘cover’ dram lagu Ikrar Cinta.

“Alhamdulillah selain Singapura dan Malaysia, kami juga diminati segelintir peminat di Indonesia. Di mana-mana pun ada pesaing, tapi syukur kami ada pengikut sendiri. Peminat Evanescence mungkin akan layan lagu kami,” katanya.

Life Petal bagaimanapun tidak menafikan peminat pop rock serta balada juga boleh melayan lagu mereka.

“Buat masa ini kami akan menghasilkan single terlebih dahulu. Apabila sudah cukup kuota, secara tak langsung kami akan hasilkan album penuh.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki kami nak buat showcase di Singapura atau Malaysia,” kata Man.

Lagu Life Petal boleh didapati di platform digital Spotify, iTunes, Deezer dan Joox serta boleh ditonton di YouTube Life Petal Official.

Peminat boleh berinteraksi dengan mereka menerusi Facebook Life Petal dan Instagram lifepetal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 5:10 AM