ZUL Huzaimy membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi. FOTO/FAIZ ANUAR
ZUL Huzaimy membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi. FOTO/FAIZ ANUAR
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON dan pengarah, Zul Huzaimy Marzuki menepati ramalan ramai apabila muncul juara program All Stars Buka Panggung 2019 sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi.

Tempat kedua pula diraih oleh Noorkhiriah yang berjaya membawa pulang wang tunai RM25,000 berserta trofi.

Pemenang tempat ketiga, Datuk Aaron Aziz pula berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi.

Sementara itu, Rita Rudaini pula menduduki tempat keempat dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi.

Pentas final All Stars Buka Panggung berlangsung dengan meriah di Royal Theatre, Shah Alam, malam ini.

All Stars Buka Panggung adalah sebuah program sketsa spontan bertemakan Katakan Tidak Pada Skrip yang menguji kemampuan pelakon tanah air mempersembahkan lakonan secara improvisasi tanpa menggunakan skrip.

Dalam masa sama, rancangan itu turut memperlihatkan bakat pelakon dalam bidang nyanyian di mana mereka perlu menyanyikan lagu yang dipilih pihak produksi.

Persembahan peserta 100 peratus ditentukan secara undian atas talian penonton menerusi www.gempak.com/allstarsbukapanggung.

Pentas final itu turut dimeriahkan dengan kemunculan artis undangan iaitu Ebby Yus, Ropie dan Ali Puteh.

Penyanyi Mas Idayu, Juzztin dan Nabila Razali pula tampil sebagai artis undangan membuat persembahan.

Penerima sumbangan pada pentas final ialah pelakon veteran Hamid Gurkha.

All Stars Buka Panggung dihoskan Ajak dan Shahrul Shiro serta diserikan dengan Seri Dewi Panggung, Erra Fazira dan ia disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (125).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 11:44 PM