AC bersama Elly. FOTO/NSTP
AC bersama Elly. FOTO/NSTP
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Berpeluang mengendalikan Anugerah Bintang Popular BH ke-32 (ABPBH 32) yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) buat julung kalinya pada 22 September ini cukup mengujakan Datuk AC Mizal dan juga Elly Mazlein.

Ditemui baru-baru ini, AC Mizal mengakui berasa gementar apabila mendapat tahu akan bergandingan dengan Elly. Luahan AC itu mengejutkan wakil media yang menemubualnya.

Ini kerana ramai tahu kreadibiliti AC Mizal sebagai pengacara berpengalaman malah dia sudah mengendalikan pelbagai program secara langsung terutama membabitkan program lawak jenaka.

Menjelaskan perkara itu, AC Mizal berkata, ini kali pertama dia diberikan pasangan untuk mengemudi acara berprestij sedangkan sebelum ini tampil solo.

“Apabila dimaklumkan akan bergandingan dengan pengacara lain, sudah pasti saya memikirkan cabaran yang bakal dilalui. Maklumlah ini sesuatu yang jarang saya lakukan.

“Begitupun, saya tahu kemampuan Elly sebagai pengacara kerana pernah menonton beberapa program kendaliannya,” katanya.

Selepas beberapa kali bertemu produksi dan Elly, AC berkata tidak sukar untuknya mencari keserasian.

“Saya ada cakap dengan Elly, bukan susah nak serasi. Kita kena rasa seronok di atas pentas, insya-Allah cepat serasi.

“Apabila mengendalikan majlis besar seperti ABPBH 32, kita akan berdepan dengan pelbagai kemungkinan antaranya masalah teknikal, masa yang terhad dan apa yang dipersembahkan itu tidak menjadi.

“Jika terlalu memikirkan semua itu, pengacara akan rasa terikat dan tidak selesa. Jadi, sebaiknya kita berseronok sahaja di atas pentas,” katanya.

Dalam pada itu AC turut menjelaskan sudah tentu akan ada penyampaian secara spontan terutama membabitkan lawak jenaka.

“Bagaimanapun ia tidak boleh dilakukan sesuka hati. Sebagai pengacara, saya dan Elly kena tahu apa yang bakal berlaku dan skrip itu penting. Ia menjadi pengikat untuk kami menjalankan acara ini. Sebagai pengacara majlis, saya sebaik mungkin cuba mengelakkan lawak yang menyentuh sensitiviti orang lain dan dianggap keterlaluan.

“Pada waktu sama, saya tahu Elly sendiri ada gaya penyampaian tersendiri. Bagaimanapun perbezaan itu akan selari dengan keserasian yang kami bina nanti,” katanya.

Elly pula berkata, dalam gementar dia berasa gembira kerana diberikan peluang mengendalikan acara yang menghimpunkan ramai penggiat seni dan peminat.

“Saya bertuah kerana digandingkan dengan AC Mizal yang umum tahu dia sangat berpengalaman. Ini peluang terbaik untuk saya belajar perkara baru,” katanya.

Sepanjang berlatih dengan AC sebelum ini, Elly berkata rakan gandingannya itu tidak lokek ilmu dan banyak membantu.

“AC Mizal sering mengingatkan saya tanggungjawab pengacara adalah menyampaikan fakta membabitkan majlis yang dikendalikan dan meraikan mereka yang diumumkan sebagai pemenang. Pengacara tidak boleh mencuri tumpuan yang seharusnya diberikan kepada pemenang anugerah di malam ABPBH 32 nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 5:30 AM