JIBRAIL gesa pengarah tempatan giat hasilkan karya dalam filem Tamil. FOTO/NSTP
JIBRAIL gesa pengarah tempatan giat hasilkan karya dalam filem Tamil. FOTO/NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PELAKON filem Tamil tempatan, Jibrail Rajhula menyarankan pengarah drama di negara ini supaya berani menghasilkan karya yang mendedahkan kebenaran untuk kebaikan masyarakat dan negara.

Jibrail yang juga pelakon utama filem Jagat berkata, filem Tamil sememangnya memiliki kelainan kerana memaparkan kisah sebenar berhubung masalah rakyat.

Filem Jagat yang memenangi kategori Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 pada 2016 mendedahkan dilema masyarakat India yang terdesak memerlukan wang hingga terjebak kancah jenayah.

"Tidak kisah sama ada filem Melayu, Cina atau India, pengarah drama perlu mendedahkan kebenaran. Apa yang penting adalah untuk negara," katanya.

Jibrail berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengenai kualiti filem Tamil tempatan semakin meningkat, semalam.

Ahmad Idham dipetik berkata, pengarah filem itu bagaimanapun terpaksa bersaing akibat kemasukan filem dari India.

Menurut Rajhula, pengawalan kemasukan filem Tamil dari India bagus dan filem Tamil tempatan juga makin berkembang dan tidak seperti 10 tahun lalu.

“Sebelum ini, tiada satu pun filem Tamil tempatan ditayangkan dan sekarang satu demi satu ia mula diterbit dan ditayangkan," katanya.

Rajhula berkata, filem Tamil tempatan turut memenangi anugerah berprestij di dalam dan luar negara.

Dia yang sudah membintangi dua filem, dua filem pendek dan sebuah drama di RTM turut memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem pendek berjudul Parvai di Hong Kong baru-baru ini.

"Harapan saya supaya pengarah drama tempatan dapat bekerjasama dengan pelakon Melayu, Cina dan India. Kita perlu bertukar-tukar pelakon bagi menghasilkan cerita mengenai Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 3:08 PM