SITI Nurhaliza bertuah apabila menerima Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh yang disampaikan Dr Mahathir Mohamad semalam. FOTO Instagram Siti Nurhaliza
SITI Nurhaliza bertuah apabila menerima Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh yang disampaikan Dr Mahathir Mohamad semalam. FOTO Instagram Siti Nurhaliza
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh oleh Entrepreneur Insight yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Siti, 40, atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin berkata, anugerah itu menjadi semangat dan inspirasi untuknya melebarkan cabang perniagaan diceburi.

“Alhamdulillah, terima kasih atas penghargaan dan kepercayaan diberikan ini.

“Saya mahu menjadikan anugerah ini sebagai pembakar semangat dan inspirasi untuk lebih berjaya dalam bidang perniagaan.

“Apatah lagi sekarang produk SimplySiti juga sudah memasuki pasaran Indonesia. Tentunya saya mahu mengembangkan lagi cabang perniagaan lain,” katanya kepada Harian Metro.

Siti yang sedang giat mempromosikan single Kasihku Selamanya berkata, dia ingin kerjaya seni yang diceburi lebih dua dekad itu bergerak seiring dengan perniagaan dibina.

“Saya mahu menjadi artis dan usahawan seiring, supaya apa yang dilakukan dapat dimanfaatkan serta berkongsi rezeki dengan orang lain,” katanya.

Dalam masa sama, Siti berkongsi anugerah yang diterima itu didedikasikan buat anak tercinta, Siti Aafiyah.

Malah, Siti bertuah apabila dia hadir menerima anugerah yang disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Anugerah ini adalah kenangan indah buat saya dan ia juga buat anak tersayang, Siti Aafiyah.

“Semoga Aafiyah menjadi insan berjaya dan bermanfaat kepada masyarakat.

“Semalam, saya menerima anugerah ini yang disampaikan Tun M sendiri. Saya berasa sangat bertuah,” katanya.

Selain Siti, antara selebriti lain yang menerima anugerah sama adalah Awal Ashaari, Wany Hasrita, Nelydia Senrose, Shaheizy Sam, Fasha Sandha dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 4:29 PM