ARA bersama Siti Nur Aisyah. FOTO Sudirman Mohd Tahir
ARA bersama Siti Nur Aisyah. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Sudirman Mohd Tahir


DISEBABKAN sukakan kanak-kanak, penyanyi, Ara Johari secara sukarela menjadi pengasuh kepada bayi perempuan berusia lima bulan iaitu Siti Nur Aisyah.

Ara, 22, atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari berkata, dia mula menjaga bayi itu selepas habis tempoh berpantang.

“Bayi ini adalah anak adik kepada Kak Niza iaitu Presiden Kelab Peminat Ara Squad. Ketika masih dalam kandungan lagi saya sudah maklumkan hasrat untuk menjaganya apabila lahir.

“Apatah lagi ibunya juga bekerja, jadi tidak salah untuk saya menjaga dan menguruskannya. Apabila ibunya pulang kerja baru dia diambil semula.

“Kalau nak tahu, saya memang sukakan kanak-kanak dan ada pengalaman menguruskan budak kecil. Apatah lagi saya ada dua adik lelaki. Ia bukan masalah untuk saya,” katanya kepada Harian Metro.

Ara yang ditemui pada sambutan hari jadinya yang ke-22 di Bangi malam ini berkata, dia mempunyai perancangan untuk mengambil anak angkat.

“Perancangan asal nak ambil angkat, tapi mak cakap saya masih terlalu muda. Disebabkan itu, saya mulakan dengan menjadi pengasuh dulu.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki nanti saya tetap nak teruskan niat ini. Bagi saya, bukan sesuatu yang pelik pun kalau mengambil anak angkat meskipun pada usia muda,” katanya.

Mengenai majlis hari jadinya, Ara meluahkan rasa syukur kerana ia kali kedua dianjurkan kelab peminat, Ara Squad.

Majlis bertemakan batik itu turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan artis daripada Akademi Fantasia 2016, Wany Hasrita, Indah Ruhaila, Rody Kristal, Sissy Iman, Siti Saida dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 11:06 PM