ABOT dan Jac akan bersanding serta menyanyi dalam acara Raikan Cinta Lama Kuala Lumpur 2019 pada 20 April ini. FOTO Ihsan Abot
ABOT dan Jac akan bersanding serta menyanyi dalam acara Raikan Cinta Lama Kuala Lumpur 2019 pada 20 April ini. FOTO Ihsan Abot
Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI Abot mengakui teruja apabila ditawarkan untuk bersanding semula dengan suaminya, Jac pada 20 April ini selepas 20 tahun melayari kehidupan sebagai suami isteri.

Abot atau nama sebenarnya Narimah Mohammad, 44, berkata, ia dicetuskan secara spontan oleh rakannya, seorang pengusaha pakej pengantin ketika mereka berbincang mengenai acara Raikan Cinta Lama Kuala Lumpur 2019.

“Saya sudah lama kenal dengan Juliana Ahmad yang menguruskan Julie Bridal House. Dia mulanya tawarkan saya dan suami buat persembahan kerana kami bergabung menubuhkan The Chor's Buskers.

“Kebetulan kami adalah suami isteri yang dah 20 tahun berkahwin, dia tiba-tiba terlintas untuk tampilkan kami sebagai antara pasangan dalam program ini.

“Tanpa mengambil masa, saya terus bersetuju kerana bukan jenis cerewet. Lagipun niat saya lebih kepada membantu kawan,” katanya.

Majlis Raikan Cinta Lama Kuala Lumpur 2019 akan berlangsung pada 20 April ini di Bangi Convention Center (BCC), Selangor bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

Selain diraikan, Abot dan suami akan turut menghiburkan pasangan lain dengan persembahan mereka.

“Konsep program ini memberi fokus meraikan pasangan pengantin lama yang meraikan ulang tahun perkahwinan ke-20 atau 30 tahun.

“Bagaimanapun mereka yang baru setahun berkahwin pun boleh berbuat demikian.

“Peserta akan pakai baju pengantin, bergambar di atas pelamin dan menjamu selera dengan hidangan yang disediakan,” katanya.

Menurut Abot, acara sebegitu memberi peluang buat mereka atau sesiapa saja yang ingin mengimbas kembali zaman berkahwin dulu.

“Mungkin sebelum ini mereka kena pakai pakaian ikut kehendak keluarga masing-masing. Tapi bezanya sekarang mereka dah bergelar suami isteri dan boleh bersiap bersama.

“Selain itu, acara ini memberi peluang kepada suami isteri yang mungkin tak mampu buat majlis besar dan hanya bernikah saja dulu.

“Inilah cara untuk mereka merasai keseronokan bersanding kerana ia sebuah majlis besar dan pastinya meriah. Pakej harga yang ditawarkan untuk ambil bahagian hanya RM350,” katanya.

Abot yang mencipta sejarah sebagai penyanyi pertama negara merakamkan album berkonsep alternatif, berkahwin dengan pemain gitar, Jac FTG atau Mohd Rafli Mohd Isa pada 3 September 1999.

Pasangan itu dikurniakan dua anak iaitu Siti Khadijah, 18, dan Siti Hajar, 11.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 8:26 PM