Atikah bersama tunangnya yang juga ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh. Foto Effendy Rashid
Atikah bersama tunangnya yang juga ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh. Foto Effendy Rashid
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Apa yang saya belajar di kursus perkahwinan, kita jangan harapkan semuanya kepada insan, tetapi letakkan harapan kepada Allah."

Demikian kata pelakon, Atikah Suhaime ketika ditanya mengenai sama ada timbul kegusaran andai kata hubungannya dengan tunang, Datuk Lokman Teh dilanda badai memandangkan isu 'penyondol' menjadi hangat sejak kebelakangan ini.

Atikah, 32, yang berasal dari Singapura berkata, dia menyerahkan segalanya kepada Allah sebagai sebaik perancang dan cuba memberikan kasih sayang sepenuhnya kepada bakal suaminya itu.

"Setiap apa yang kita buat, kita berserah kepada Allah sebab semuanya, Dia yang rancang.

"Apa yang saya buat sekarang adalah, berikan kasih saya sepenuhnya kepada bakal suami saya.

"Apa yang terjadi (selepas ini), kita tak tahu kerana itu semua kehendak Allah. Yang penting, fokus kepada Allah dan sayang Allah.," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharunya yang juga sibuk mempromosikan rangkaian produk berjenama Zaitun, Atikah berkata, jiwanya masih lagi kuat sebagai pelakon dan kini mula berevolusi dalam dunia perniagaan.

"Dari segi kerjaya, saya masih lagi berlakon dan ada filem yang akan datang. Insya-Allah, di masa akan datang, saya akan berikan tumpuan kepada perniagaan juga.

"Zaitun dah memang ada jenama tersendiri. Jadi, cara untuk menarik perhatian pengguna muda, saya kena berlakon juga supaya dapat memperkenalkan jenama ini.

"Terbaharu, filem lakonan saya berjudul Tatian akan ditayangkan, mungkin pada Januari atau Februari tahun depan. Bukan hanya berlakon, tapi, saya akan menyanyi juga dalam filem itu.

"Selain itu, ada juga telefilem, di samping tugas dan tanggungjawab sebagai duta jenama Zaitun ini," katanya.

Atikah dan Lokman mengikat tali pertunangan bulan lalu dan akan mendirikan perkahwinan pada 21 Januari depan ini di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 11:29 AM