LEFTENAN Zana ada pengikut setia di Singapura dan Indonesia.
LEFTENAN Zana ada pengikut setia di Singapura dan Indonesia.
Norhayati Nordin


Kontroversi yang melanda pelakon utama dan penerbit drama Leftenan Zana iaitu Janna Nick serta Sheila Rusly sama sekali tidak menjejaskan rating drama itu yang kini bersiaran di TV3.

Menurut Pengurus Besar, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Siti Nurlisia Mohd Nadzri, meskipun drama itu berbaki tiga episod lagi, ia berjaya mencatat 10 juta tontonan sepanjang 10 episod bersiaran.

Siti Nurlisia turut memaklumkan Leftenan Zana mendapat sambutan hangat di laman Youtube @TV3Malaysia dan Drama Sangat sehingga mencecah enam juta tontonan berdasarkan laporan Nielsen Audience Measurement.

“Kami banyak menerima komen positif penonton yang sukakan jalan cerita Leftenan Zana yang memaparkan kisah suka duka pelatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Drama ini tidak hanya mendapat perhatian rakyat Malaysia malah turut ditonton rakyat negara jiran seperti Singapura dan Indonesia,” katanya.

Siti Nurlisia turut memuji barisan pelakon drama itu yang berani menyahut cabaran syarikat produksi JS Pictures Sdn Bhd dengan melakonkan watak menguji fizikal dan mental.

"Kami berterima kasih kepada pihak produksi kerana bertungkus lumus menghasilkan naskah berkualiti. Sekalung penghargaan juga buat penonton yang menyokong drama ini," ujarnya.

Leftenan Zana arahan Azman Haji Yahya atau Jinggo itu mengisahkan impian Zana lakonan Janna Nick yang bercita-cita menjadi anggota tentera tetapi tidak direstui bapanya, Mejar (B) Rahmat (Hairie Othman).

Rahmat lebih mengharapkan Zaidi untuk menyambung legasinya tetapi anak sulungnya itu tidak berminat.

Drama Leftenan Zana yang bersiaran setiap Rabu hingga Jumaat, jam 9 malam turut dibintangi Redza Rosli dan Tunku Hanis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 10:02 PM