AFIEQ Shazwan. FOTO Arkib NSTP
AFIEQ Shazwan. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI, Afieq Shazwan mengakui mulai menjadi 'teman tapi mesra' kepada penyanyi, Wani Kayrie sejak terbabit dalam program realiti Big Stage.

Afieq, 21, atau Muhammad Shafieq Shazwan Zamros bagaimanapun menafikan dirinya dan Wani sedang bercinta seperti diperkatakan peminat.

“Saya sudah lama mengenali Wani namun tidak rapat kerana lain kerjaya. Ketika itu saya fokus dalam bidang lakonan.

“Jadi, apabila kami berada dalam satu pertandingan dan berjumpa hampir setiap masa dalam kelas membuatkan kami jadi lebih rapat.

“Cuma, rapat kami belum sampai tahap bercinta. Wani muda lagi dan saya anggap dia seperti adik," katanya kepada Harian Metro.

Pun begitu, Afieq berkongsi mereka kerap menghantar mesej jika tidak berjumpa di kelas.

“Wani selalu berasa 'down' dan kurang berkeyakinan. Disebabkan itu, saya selalu menasihati dan memberi kata semangat untuknya. Dia pun buat perkara sama.

“Mungkin itu juga antara sebab kami semakin rapat," katanya.

Bukan sahaja dalam kalangan peminat, hubungan rapat kedua mereka sering dikongsikan Sissy Iman di Instagram Story miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 12:36 PM