AMELINA tidak memilih jodoh, namun tidak mahu terburu-buru. FOTO Arkib NSTP
AMELINA tidak memilih jodoh, namun tidak mahu terburu-buru. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI Amelina, 43, menafikan gosip mengenai dirinya didakwa menjalinkan hubungan dengan lelaki muda berusia 28 tahun dikenali sebagai Hafiz.

Namun, dia tidak menolak sekiranya ditemukan jodoh dengan lelaki yang lebih muda.

“Saya berkawan saja dengan pemuda itu selepas mengenalinya di satu acara. Kebetulan, kami mudah serasi memandangkan saya pun memang peramah. Tapi, tidak lebih daripada kawan biasa.

“Kalau mengenai jodoh, saya tak terlalu memilih dan kalau betul jodoh saya dengan orang lebih muda, saya tak menolak,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ratu Dangdut Malaysia itu, dia tidak mahu terburu-buru dalam mencari jodoh memandangkan usia dan statusnya sebagai ibu tunggal.

“Kalau nak cari jodoh yang seusia saya, mana ada lagi lelaki bujang. Yang ada pun, tentunya suami orang. Kalau duda, mestilah mereka nak memperisterikan anak dara dan bukan janda seperti saya.

“Kalau bercinta dengan orang muda pula, saya kena berdepan keluarganya pula. Kalau keluarganya setuju dan boleh terima saya seadanya, okaylah.

“Tapi kalau sebaliknya dan menjadi punca mereka keluarga bergaduh, tak mungkinlah saya akan terima,” katanya.

Yang pasti, dia kini ingin menghabiskan masa bersama anak-anaknya di samping meneruskan kerjaya seni sebagai penyanyi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 4:01 PM