GAMBAR yang dimuat naik Nabila di Instagram dengan keterangan yang menyatakan dia rindu keluarganya. FOTO Instagram Nabila Razali
GAMBAR yang dimuat naik Nabila di Instagram dengan keterangan yang menyatakan dia rindu keluarganya. FOTO Instagram Nabila Razali
Najiy Jefri


KALI pertama berjauhan dengan ahli keluarga membuatkan penyanyi, Nabila Razali gagal mengawal emosi sehingga menitiskan air mata.

Nabila berkata, dia yang kini berada di Turki bagi menjalani penggambaran drama terbaru Cintaku Di Bumi Izmir mengaku amat merindui ahli keluarganya selepas hampir dua minggu meninggalkan mereka.

"Saya menangis kerana terlalu rindukan keluarga di tanah air. Air mata saya tiba-tiba mengalir apabila panggilan video yang dibuat tidak dijawab kerana waktu di Malaysia ketika itu sudah lewat malam.

"Hampir setiap hari saya akan menghubungi keluarga untuk bertanya khabar. Bayangkan setiap kali dapat mendengar suara mereka saya pasti sebak dan tak sabar nak pulang ke Malaysia," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nabila, selain berjauhan dengan keluarga tercinta dia turut merasai pengalaman berpuasa buat kali pertama di luar negara.

"Saya akan berada di sini hingga minggu ketiga puasa. Ini adalah pengalaman kali pertama saya berpuasa selama 17 jam.

"Tapi Alhamdulillah, tak ada rasa lapar sangat sebab mungkin sibuk nak habiskan penggambaran dan tak fikir soal makan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 3:13 PM