Nabila akui Hael (kiri) ada ciri idamannya. FOTO fail HM
Nabila akui Hael (kiri) ada ciri idamannya. FOTO fail HM
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI dan pelakon, Nabila Razali, 26, mengakui, penyanyi, Hael Husaini yang dikatakan menjalin hubungan cinta dengannya memiliki beberapa ciri-ciri lelaki idaman.

Bagaimanapun, Nabila tidak mahu terburu-buru bercakap soal jodoh kerana menganggap hubungannya dengan Hael tidak lebih daripada kawan biasa.

"Mana-mana lelaki pun ada ciri-ciri lelaki idaman saya. Untuk Hael, saya akui dia bapa yang penyayang.

"Kalau ditanya mengenai ciri-ciri lebih spesifik, saya mahukan lelaki yang berpenampilan kemas dan pembersih.

"Tak dinafikan, semua itu ada pada Hael cuma yang tidak ada adalah dari segi ketinggian," katanya kepada Harian Metro.

Nabila yang popular menerusi lagu Pematah Hati juga menegaskan, dia memang berkawan rapat dengan Hael sejak bergelar peserta AF2013 lagi.

"Pada ketika itu, dia banyak membantu saya dari segi persembahan dan sebagainya. Sehingga kini, dia juga banyak membantu dari sudut pemilihan lagu dan sebagainya.

"Kerana itu, saya dan dia lebih selesa dan kerapatan kami itu membuatkan ramai salah faham sehingga menganggap kami sedang bercinta.

"Pendek kata, dia ada bersama saya sejak zaman saya dikutuk sehinggalah sekarang apabila saya sudah mula mendapat tempat di dalam industri," katanya.

Nabila dan Hael dianggap memiliki hubungan istimewa apabila Nabila dilihat menangis kegembiraan tatkala lagu Hael, Jampi diumumkan sebagai Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32).

Terbaru, Nabila yang ditemui di Festival Gegaria Ipoh akan mula menjalani penggambaran drama terbaru berjudul Cintaku di Bumi Izmir.

Berita berkaitan:

Kawan dulu jodoh belum tahu

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 3:01 PM