Nabila Razali.
Nabila Razali.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam: Penyanyi Nabila Razali mengesahkan dia akan membuat persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35), 7 Februari ini menyanyikan lagu ciptaan Hael Husaini dan MFMF, Peluang Kedua.

Nabila ketika ditemui di sidang media AJL35 yang berlangsung hari ini berkata, dia kini dalam proses pemulihan selepas mengalami masalah peti suara mengakibatkan dia tidak dapat membuat persembahan di separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM35) sebelum ini.

"Saya cuba kuatkan diri untuk membuat persembahan di pentas AJL35. Namun, sekiranya ada sesuatu di luar jangkaan berlaku pada hari kemuncak itu, kami akan fikirkan apa yang terbaik. Walaupun berisiko, saya fikirkan juga mengenai peminat-peminat yang rindu untuk melihat saya membuat persembahan.

"Keadaan kesihatan saya masih dalam proses pemulihan dan doktor juga menyarankan supaya saya berehat. Jadi, saya memang tak ambil sebarang tawaran kerja atau hadir di mana-mana acara sebelum ini. Selain itu, saya juga mengamalkan perkara yang boleh memulihkan kesihatan antaranya pengambilan ubat," katanya.

Ditanya sama ada dia ada senarai artis yang bakal menggantikannya sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku, Nabila berkata, dia dan pasukannya akan memikirkan pelan kedua.

"Di separuh akhir, Hael menggantikan saya dan sudah berikan persembahan terbaik. Kalau berlaku perkara yang tidak diingini di AJL35, kami akan maklumkan," katanya.

Nabila juga meminta peminat-peminatnya supaya mendoakan kesejahteraan kesihatannya.

"Saya minta semua dapat doakan kesihatan saya dan saya dapat buat persembahan di AJL35 nanti kerana ini kali pertama untuk saya," katanya.

Sementara itu, MFMF yang dianggotai Brendan Lim, Zen dan Justin Seow pula kini tidak dapat menilai kemampuan vokal Nabila memandangkan dia masih dalam pemulihan.

"Tak adil kalau kita nak menilai kemampuan vokalnya sekarang memandangkan dia masih lagi dalam proses pemulihan. Kalau semakin baik, kita akan 'push' (kerja keras) lagi untuk sesi latihan kerana kami akan berikan sedikit susunan muzik berbeza supaya ada warna dan kedengaran lebih segar," katanya.

AJL35 akan berlangsung pada 7 Februari ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 6:23 PM