PENERBIT, Rama Adi (kiri) dan Mouly pada sidang media, baru-baru ini.
PENERBIT, Rama Adi (kiri) dan Mouly pada sidang media, baru-baru ini.
ANTARA babak menarik.
ANTARA babak menarik.
MARSHA (kanan) bawa watak Marlina dengan berkesan.
MARSHA (kanan) bawa watak Marlina dengan berkesan.
Norhayati Nordin


Cabaran hidup perlu dilalui seseorang wanita itu ada kalanya terlalu sukar untuk difikir. Apatah lagi, jika tinggal di kawasan yang terpencil.

Hanya mereka yang pernah melaluinya tahu betapa sukar untuk memahami ujian menimpa dalam erti hidup sebenar.

Itulah juga yang cuba digambarkan sutradara muda berkaliber Indonesia, Mouly Surya dalam filem Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak arahannya.

Mouly tampil mengangkat kisah perjuangan seorang wanita di kawasan pulau terpencil di Indonesia yang berani bangkit mempertahankan kehormatan dirinya daripada terus menjadi mangsa kerakusan lelaki.

Bekerjasama dengan produksi Astro Shaw dari negara ini selaku penerbit, turut dianggap peluang bermakna buat Mouly untuk berkongsi karyanya.

“Saya tidak pernah menduga dan terfikir untuk karya Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak ini dapat dikongsi dengan penonton Malaysia, namun inilah peluang buat saya.

“Tertariknya saya untuk menghasilkan filem ini kerana skrip yang mantap hasil tulisan Garin Nugroho. Dia berjaya mengangkat kecekalan jiwa wanita yang ditindas.

“Memilih pula satu kawasan terpencil iaitu Pulau Sumba di Indonesia, kehidupan wanitanya agak berbeza. Bahkan, perspektif pandangan terhadap wanita juga tidak sama.

“Gambaran situasi yang cuba saya dasari untuk golongan wanita di lokasi penggambaran ini, kehidupan mereka lebih sinonim dengan memasak dan dapur,” katanya.

Mouly berkata melalui dapur, ia juga menjadi laluan masuk dan keluar apabila seseorang wanita itu berada di rumah. Keadaan ini jarang berlaku di kota besar.

“Berdikarinya wanita yang menjalani kehidupan di kota besar terutama Jakarta, golongan ini mampu mencari pendapatan buat keluarga serta tidak dikasari

“Manakala, kehidupan wanita di pulau itu pula dijalani agak naif, tetapi, jiwa mereka kental dalam berhadapan ujian hidup terutama berkait rapat dengan lelaki,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai filem ini, Mouly berkata, ia ada cabaran yang tersendiri.

“Ia adalah filem pertama yang saya lakukan penggambarannya di luar Jakarta dan tempoh diambil selama 17 hari.

“Bagi praproduksi pula dibuat selama tiga bulan untuk mendapatkan hasil karya berkualiti. Kini, harapan saya semoga filem ini diterima baik di Malaysia,” katanya.

Baru-baru ini, Mouly hadir ke majlis pratonton yang diadakan Astro Shaw dengan diiringi penerbit Indonesia, Rama Adi.

Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak dihasil­kan secara kolaborasi filem Surya bersama penerbit antarabangsa seperti Perancis, Malaysia dan Thailand.

Ketua Astro Shaw Sdn Bhd Najwa Abu Bakar berkata, filem itu ditayangkan secara eksklusif di lima rangkaian pawagam Golden Screen Cinema (GSC) terpilih mulai 8 Mac lalu.

“Bagaimanapun, Astro Shaw sangat berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan Mouly dan produksi Marlina.

“Kami percaya filem ini ada nilai seni tersendiri kerana ia mewakili cerita kisah wanita dari negara Asia Tenggara.

“Apatah lagi, penceritaannya jujur dan saya harap filem ini akan berjaya menerima sambutan yang sangat baik,” katanya.

Antara pawagam GSC terpilih menayangkan filem ini secara eksklusif ialah Mid Valley, Pavillion dan 1 Utama (Kuala Lumpur), Gurney Plaza (Pulau Pinang) dan Paradigm Mall (Johor Bharu).

Balas dendam terhadap pencuri

Ia mengenai seorang wanita yang berstatus ibu tunggal bernama Marlina.

Kisah bermula apabila rumahnya diceroboh sekumpulan pencuri yang mahu mengambil kesempatan terhadapnya.

Demi menyelamatkan nyawanya, dia bertekad membunuh beberapa lelaki itu termasuk memenggal kepala ketua perompak.

Bagi menuntut keadilan buat dirinya, bermulalah perjalanan kisah Marlina dengan membawa kepala si mati sebagai bukti.

Mampukah Marlina mendapatkan keadilan dicari buat dirinya dengan pelbagai cabaran perlu diharungi?

Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak dibarisi pelakon Marsha Timothysebagai Marlina, Dea Panendra(Novi), Egi Fedly(Markus), Yoga Pratama(Franz), Rita Matu Mona (Yohana), Yayu Unru (Raja), Anggun Priambodo(Ian) dan Ayez Kassar(Paulus).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 11:50 AM