ATHIGAARI filem bergenre suspen ‘thriller’.
ATHIGAARI filem bergenre suspen ‘thriller’.
Najiy Jefri


BARU-BARU ini, memperlihatkan filem tempatan kembali rancak dan berjaya mencipta fenomena dengan meraih kutipan memberangsangkan meskipun menonton dalam suasana norma baharu.

Rentetan kejayaan terbabit, membuktikan penonton sentiasa inginkan filem yang segar dan menghiburkan.

Bersempena Deepavali, Astro Shaw membawakan buat pertama kali sebuah filem Tamil berjudul Athigaari terus ke pawagam rumah anda di Astro First.

Menemui penonton mulai semalam di saluran 480, filem bergenre suspen 'thriller' ini memaparkan kisah siasatan seorang polis dalam menjejaki pembunuh misteri.

Sepanjang 2 jam 9 minit, penonton bakal menikmati emosi berbeza menerusi babak aksi, suspen, komedi, romantik dan menyentuh perasaan.

Malah, melengkapkan lagi jalan cerita, turut diselitkan babak nyanyian dan menari.

Setiap susunan filem ini mendapat sentuhan hebat oleh pengarah Kabilan Plondran yang juga Pengarah Terbaik menerusi filem Jhangri di Anugerah Tamil Kalainyar 2018.

Sementara itu, mutu lakonan setiap pelakon pula sudah mendapat khidmat tunjuk ajar daripada guru lakonan dikenali, Fared Ayam atau nama sebenarnya Mohd Fared Jamaluddin.

Nama Fared tidak asing dalam industri seni di mana dia juga adalah guru lakonan untuk pelakon filem Polis Evo 2 dan turut aktif dalam pengarahan serta lakonan teater.

Setiap watak sudah digerakkan dengan baik oleh barisan pelakon berbakat besar dan popular seperti Bala Ganapathi William, Karnan Kanapathy, Nanthini Ganasen, Sasikumar Kandasamy, Sri Kumaran Munusamy, Thilaag Nair, Akshara Nair, Vishalini Siva, Kuben Mahadevan, Pramilla, Saha, Havoc Jega dan Khirthy.

CERITA penuh emosi.
CERITA penuh emosi.

Kata penerbitnya, Nanthini Ganasen, filem Athigaari ini sepatutnya dijadualkan tayangan pada Mac lalu namun terpaksa ditunda ekoran pandemik Covid-19.

"Filem ini pada mulanya dirancang untuk tayangan di pawagam pada Mac lalu, namun disebabkan pandemik Covid-19 ia terpaksa ditunda. Tetapi, kini filem Athigaari akhirnya menemui penonton dan lebih istimewa ketika sambutan Deepavali.

"Filem ini sesuai untuk tontonan semua peringkat usia dan tidak hanya untuk peminat filem Tamil, tetapi buat semua penonton berbilang bangsa. Selain itu, antara kelainan dalam filem ini adalah watak utama membawakan karakter yang menggunakan bahasa isyarat tangan sebagai salah satu medium berkomunikasi.

"Jadi, kami berharap dengan kehadiran filem Athigaari, ia mampu mengisi masa lapang penonton serta menceriakan lagi Deepavali anda dengan berhibur menerusi jalan cerita yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar. Bagi kami, sokongan penonton terhadap filem sebegini amat penting dalam usaha memastikan filem Tamil terus 'bernafas'," katanya.

AKSI tegang dalam Athigaari.
AKSI tegang dalam Athigaari.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya sentiasa membuka ruang kepada semua penerbit filem Malaysia dan yakin filem Tamil mempunyai kekuatan sendiri.

"Dalam usaha membuka ruang buat barisan penerbit filem Malaysia untuk tampilkan produk mereka seni kepada penonton dalam gaya tontonan norma baharu ini. Astro Shaw tidak hanya tertumpu kepada filem Melayu, malah kami amat terbuka dan memberi sokongan padu kepada semua hasil karya tempatan.

"Bersempena Deepavali ini, Astro Shaw terus melangkah ke hadapan dengan buat kali pertamanya membawakan filem Tamil tempatan terus ke pawagam rumah anda, Astro First. Kami percaya filem Tamil mempunyai peminat tersendiri, ditambah jika sesebuah filem itu bagus ia pasti mampu menarik lebih ramai penonton untuk menyaksikannya.

"Seperti filem Athigaari, ia mempunyai jalan cerita yang menarik dengan gabungan elemen pelbagai dan kami merasakan karya ini mampu berdiri setanding filem terbaik tempatan yang lain.

"Kami harap dengan membawakan filem ini ke Astro First, ia mampu menjadi permulaan yang baik dalam memperluaskan lagi filem Tamil kepada peminat seni, sekali.gus merancakkan lagi industri perfileman tanah air.," ujarnya.

Athigaari mengisahkan mengenai seorang anggota polis yang mengambil alih kes pegawai yang mati dibunuh.

Dia percaya pembunuh terbabit mempunyai kaitan dengan kes terdahulu.

Dengan bantuan anak mangsa, dia menjejak setiap langkah pembunuh itu sehingga membawanya kepada rancangan besar yang bakal dilakukan pembunuh terbabit.

Selain melanggan Astro First, filem Athigaari ini juga boleh ditonton secara strim di Astro Go atau On Demand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 6:13 AM