RITA Rudaini (kiri) dan Izreen Azminda. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
RITA Rudaini (kiri) dan Izreen Azminda. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Sudirman Mohd Tahir


IZREEN Azminda meminta netizen agar berhenti 'menyerang' pelakon Rita Rudaini di Instagram (IG) membabitkan kontroversi perkahwinannya.

Izreen, 33, berkata, Rita tidak ada kena mengena dalam rumah tangganya dan berharap orang ramai tidak salah faham mengenai apa yang terjadi.

"Diakui sejak saya menutup ruangan komen dan menyhaktif sementara akaun Instagram, netizen beralih ke IG Rita. Disebabkan mereka tidak dapat menghentam saya, Rita pula jadi mangsa.

"Dalam masa sama, perkara ini berlaku di luar kawalan saya. Cuma, apa boleh dikatakan sekarang, berhenti mengganggu ketenteraman Rita, baik di kalangan peminat saya atau 'haters'.

"Tidak adil jika dia turut dikecam hanya kerana kami berkawan. Ingin dijelaskan, dia tidak terbabit atau ada kena mengena dalam perkara ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Izreen, buat sementara waktu dia tetap dengan pendirian untuk tidak mengaktifkan semula Instagram miliknya.

"Saya bukan lari, tetapi ingin perkara ini selesai dahulu. Selepas ini, saya akan kembali membuka akaun IG.

"Buat masa sekarang, saya ingin semuanya reda dan tenang dahulu. Bagi yang terus memberikan sokongan kepada saya, terima kasih diucapkan," katanya.

Mengenai penamatan kontrak menjadi duta produk kecantikan, Izreen menjelaskan dia bukan digugurkan sebaliknya kontrak berkenaan sudah berakhir.

"Saya anggap tidak ada rezeki. Namun, saya ingin perbetulkan persepsi orang yang mana kontrak saya tidak dibatalkan, tetapi sudah berakhir. Saya percaya, rezeki Allah SWT ada di mana-mana.

"Alhamdulillah, tawaran berlakon juga tidak putus dan semua berjalan macam biasa. Saya bersyukur pihak produksi tidak ambil pusing masalah peribadi saya. Mereka lebih percaya dengan hasil kerja saya selama ini.

"Saya juga tidak ada masalah disiplin atau pernah menimbulkan masalah terhadap mana-mana produksi. Paling penting, walaupun saya berdepan masalah, sikit pun tidak menjejaskan kerja saya atau pun mengganggu produksi. Saya tetap menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 1:10 PM