Shima akan bertolak pada 26 Januari. FOTO NAZRAN JAMEL
Shima akan bertolak pada 26 Januari. FOTO NAZRAN JAMEL
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI Shima mengakui begitu terkejut apabila didatangi perkhabaran gembira mendapat tajaan untuk mengerjakan umrah daripada sebuah jabatan kerajaan.

Shima atau Ku Nazhatulshima Kamarazzaman, 49, meluahkan kegembiraannya di Facebook (FB) dan menerima respon positif daripada peminatnya.

"Saya menerima panggilan daripada kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 6 Januari lalu yang membawakan khabar baik ini.

"Mulanya saya sangkakan ini 'prank' dan susah nak percaya tetapi ia rupa-rupanya betul dan mereka sudah berjumpa saya untuk ambil dokumen yang diperlukan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Penyanyi lagu Teringin ini mengakui selain dirinya, penyanyi Sahara Yaacob antara artis yang terpilih dalam rombongan yang dijadualkan bertolak pada 26 Januari ini.

"Saya tidak tahu apa kriteria yang melayakkan mereka memilih saya tetapi saya memang sudah lama memasang impian untuk ke tanah suci Makkah.

"Memandangkan saya sudah lama berehat kerana tiada show, tawaran ini amat menjentik emosi saya. Ini rezeki saya dan yang paling utama, saya dapat jadi tetamu Allah," katanya.

Shima berkata, dia akan mempergunakan kesempatan berada di depan Kaabah untuk berdoa bagi kebaikan dirinya.

"Sudah tentu saya tidak akan mempersiakan masa di sana. Malahan saya sudah bersedia dengan doa-doa yang menjurus kepada kebaikan dan kesejahteraan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 2:52 PM