Shima hadir uji bakat. FOTO Arkib NSTP
Shima hadir uji bakat. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


Penyanyi Shima berasa dirinya dipermainkan apabila diminta hadir uji bakat untuk menyanyi di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini, tetapi kemudiannya ditolak.

Perasaan itu diluahkannya di Facebook dan mendapat perhatian peminat.

Shima atau Ku Nazhatulshima Kamarazzaman, 48, berkata dia hadir uji bakat minggu lalu dengan harapan besar supaya dirinya diterima menyanyi di situ.

“Saya dimaklumkan mengenai kekosongan jawatan penyanyi di situ oleh bekas pemain piano kumpulan Heavy Machine, Ahmad Zakaria.

"Kemudian ada ejen menghubungi saya meminta hadir uji bakat sebagai syarat kerana saya hampir pasti diterima," katanya kepada Harian Metro.

Kata Shima, dia tidak sempat buat apa-apa persiapan kerana kesuntukan masa dan cuba buat yang terbaik.

"Selepas uji bakat, ejen itu menghantar mesej memberitahu saya gagal dan mereka ada pilihan lain iaitu penyanyi muda.

“Saya geram. Jika ada pilihan, kenapa beria menyuruh saya hadir uji bakat dan memberi harapan kepada saya?," katanya.

Shima akui perlu bekerja kerana tawaran menyanyi hampir tiada.

“Tindakan mereka membuatkan saya seolah-olah dipermainkan. Perkara ini amat saya kesali dan melihatnya seperti ada isu 'double standard.

"Saya tidak bekerja dan hanya menghabiskan masa di rumah sekarang. Semua pihak hanya memberi harapan palsu seperti janji hendak menghasilkan single tetapi semuanya kosong," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Teringin dan Luka Dilukai itu berdepan masalah kesihatan apabila menghidap sakit saraf dan sakit belakang yang memerlukannya mendapatkan rawatan dan ubat secara berterusan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 8:10 PM