Izreen menulis pada akaun Instagramnya.
Izreen menulis pada akaun Instagramnya.
Najiy Jefri


"SAYA memohon sejuta kemaafan kepada semua dan saya juga memaafkan mereka yang membenci, memfitnah, membuka aib atau menjatuhkan hukum ke atas diri saya,” kata pelakon Izreen Azminda menerusi akaun Instagram miliknya.

Izreen juga memohon maaf kepada mana-mana individu sekiranya sepanjang tahun lalu atau sebelumnya dia menyakiti hati mana-mana pihak.

“Saya sudah kosongkan hati dan fikiran daripada perasaan dan rasa negatif.

"Saya hanya manusia biasa dan hamba Allah yang tidak mungkin terlepas daripada melakukan kesilapan serta menerima ujian dan ketetapan daripada Allah," tulisnya.

Menurut Izreen, dia mengharapkan doa yang terbaik daripada peminat agar dirinya terus istiqamah serta turut mendoakan pengikutnya di laman Instagram sentiasa bahagia dunia serta akhirat.

"Jika kamu mampu memaafkan kekhilafan orang lain ketika hati kamu terlalu sakit dan sedih, percayalah bahagia dan tenang akan sentiasa bersamamu. Ini pesanan seorang hamba Allah yang saya pegang sehingga hari ini.

"Apa yang saya harapkan hanyalah doa yang sebaik-baiknya daripada anda semua dan begitu juga dengan saya.

"Saya juga harap anda semua diberi kebahagiaan yang abadi dunia akhirat," katanya.

Terdahulu Izreen membuat pengakuan terbuka bahawa dia sudah menjadi isteri kedua kepada pemuzik bebas bernama Muhammad Radzi Wahid, 29, atau Ude sejak 8 Ogos tahun lalu dalam satu majlis perkahwinan tertutup di Damansara.

Pengumuman itu bagaimanapun tidak mendapat sokongan ramai sebaliknya aktres itu menerima cacian dengan kata-kata kurang sopan oleh netizen.

Kebanyakan mereka menjadikan Instagram peribadi Izreen sebagai medan meluahkan rasa tidak puas hati gara-gara dia berkahwin dengan lelaki berstatus suami orang beranak dua.

Lebih pedih ramai melabelkan Izreen sebagai perampas dan perosak rumah tangga orang lain dan mempersoalkan mengapa Izreen memilih lelaki sudah beristeri sebagai suami.

Malah ada menyifatkan tindakan pasangan itu berkahwin secara rahsia tidak betul dan sepatutnya Muhammad Radzi memaklumkan kepada isteri pertama, Intan Liana Salih terlebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 4:48 PM