SYAFIE Naswip
SYAFIE Naswip
Ramlah Zainal


Bakat lakonannya mula digilap menerusi filem Mukhsin karya Allahyarham Yasmin Ahmad yang masih diingati peminat sampai hari ini.

Malah, pelakon muda Syafie Naswip, 25, mengakui setiap ilmu dan bimbingan yang diberikan pengarah hebat itu sentiasa menjadi panduan untuknya melangkah lebih jauh dalam bidang lakonan.

“Terus terang, saya tidak pernah memilih watak ditawarkan sejak menceburi bidang lakonan, 12 tahun lalu. Saya masih ingat pesanan arwah supaya sentiasa mencuba apa saja watak diberikan dalam setiap naskhah yang diberi.

“Menurut arwah, apa saja yang kita mahu lakukan dalam hidup, kita perlu berikan yang terbaik. Jika sesebuah filem itu nampak kurang bijak, bukan salah filem itu tetapi pelakon yang menyebabkan filem jadi begitu,” katanya.

Diminta komen watak remaja pula, kata Syafie, dia tidak kisah sering ditawarkan watak terbabit dalam drama mahupun filem.

“Apa yang penting penonton dapat apa yang mahu disampaikan dalam karya itu. Jika wajah dan saiz fizikal membuatkan watak seseorang tidak berkembang, ia tidak adil untuk pelakon seperti saya kerana ia seolah-olah menyekat kebolehan dalam lakonan,” katanya.

Syafie ditemui pada tayangan perdana filem Jibam yang berlangsung di MM Cineplex eCurve, Damansara, baru-baru ini.

Namun, Syafie percaya saiz badan dan wajah awet mudanya turut memberi kelebihan padanya dalam bidang lakonan suatu hari nanti.

“Memiliki wajah dan fizikal awet muda adalah anugerah buat saya. Mungkin ada rakan seperjuangan dalam bidang seni sudah melakonkan watak seorang bapa, sedangkan saya masih dengan karakter budak sekolah dan remaja.

“Ia bukan masalah kerana apabila memasuki usia 30 tahun nanti mungkin watak itu sesuai untuk saya pula,” katanya.

Watak Kadir cabar lakonan

Watak Kadir yang panas baran dalam filem Jibam yang diadaptasi daripada novel popular era 90-an karya kartunis Ujang memberi cabaran tersendiri buat Syafie.

“Kadir adalah abang kepada Jibam. Watak itu berat dan mencabar kemampuan diri. Kadir seorang yang tegas, panas baran dan sangat melindungi keluarga terutama jika ada orang mengganggu Jibam. Walaupun panas baran dan cepat marah, tetap ada kasih sayang dalam diri Kadir.

“Apa yang mencabar, saya tidak pernah bawa watak sedemikian di layar lebar dan perlu kekalkan momentumnya,” katanya.

Mengenai gandingan dengan pelakon kanak-kanak, Ariff Abdullah pula, kata Syafie, pelakon itu ada aura untuk pegang watak Jibam dalam filem itu.

“Kali pertama bertemu Ariff, saya percaya dia pelakon yang tepat untuk mainkan watak Jibam. Selain peka dengan persekitaran dan boleh menghafal dialog, Ariff sangat komited dengan wataknya,” katanya.

Filem arahan Che Mie itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Esma Danial, Farah Ahmad, Bohari Ibrahim, Zaidi Omar, Fadlan Hazim, Mia Ahmad, Kazar Saisi dan Kamarool Yusoff.

Jibam akan ditayangkan di pawagam tanah air bermula 7 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 12:18 PM