RAMPAGE pamer persembahan mantap.
RAMPAGE pamer persembahan mantap.
Nazrul Azuad


House@G Tower di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur menjadi saksi kehebatan Rampage yang pertama kali mengadakan persembahan di situ, baru-baru ini.

Lebih 200 peminat rock memenuhi kawasan itu untuk menyaksikan band yang dianggotai pemain dram tersohor, Yazit, Moq (penyanyi), Jemboo (gitar), Rithan (gitar) dan Zham (bass) ini.

Apa yang menarik, sejak 17 tahun ditubuhkan, inilah persembahan pertama Rampage di Kuala Lumpur.

Yazit selaku pengasas Rampage berkata, mereka terharu dengan sambutan penonton dan peminat terhadap band itu.

“Walaupun sudah lama ditubuhkan, kami boleh dikatakan sebagai band baru. Memang kami sudah lama dan lagu yang berusia 17 tahun.

“Bagaimanapun, kami tetap memberikan yang terbaik. Untuk persembahan ini, kami membuat persediaan selama sebulan. Kami tidak mahu anda kecewa jika gagal memberikan persembahan terbaik,” kata Yazit kepada penonton pada malam itu.

Rampage berasal dari Search yang tampil dengan album Selepas Banjir pada 1999. Ketika Search hampir tumbang, Yazit meneruskan perjuangan band itu dengan merekrut Moq, Zham dan Shah Slam (gitar) ketika itu.

Bagaimanapun, kegagalan Selepas Banjir menyebabkan Search dibubarkan dan Yazit menubuhkan Rampage bersama Moq, Zham serta pemain gitar, Cha’a pada 2000.

Selepas 17 tahun, barulah Rampage berpeluang menghasilkan album sulung mereka berjudul Rempuh yang mula dipasarkan tahun ini.

Dalam persembahan malam itu, penonton terlebih dulu ‘dipanaskan’ dengan persembahan daripada Search Tribute Band yang membawakan lagu popular Search.

Antaranya ialah Gemuruh, Pawana, Menara Kesesatan, Pasti, Mentari Merah Di Ufuk Timur dan Isabella.

Pentas kemudian diserahkan kepada Rampage. Penonton yang pada mulanya hanya menjadi pemerhati di meja makan ketika persembahan Search Tribute Band mula berasak-asak di depan pentas.

Setiap gerak-geri Yazit, Zham, Moq, Jemboo dan Rithan menjadi perhatian mereka.

Tanpa banyak bicara Rampage membuka tirai persembahan dengan lagu berentak perlahan berjudul Selimuti Hawa yang mengisahkan wanita berhijab.

Walaupun dicipta 17 tahun lalu, ia sesuai dengan cita rasa peminat masa kini.

Mereka kemudian mempersembahkan lagu Torpedo yang menyaksikan kekuatan muzik Rampage.

Hentakan dram berharmoni dengan petikan gitar dan dentuman bass bertali arus memberikan impak yang cukup kuat.

Lagu Kejoraku Bersatu yang dipetik daripada album Selepas Banjir menyaksikan peminat menyanyi bersama dari mula hingga akhir.

Rampage turut mendendangkan lagu daripada album mereka iaitu Rempuh, Apa Mahu Mu dan lagu ‘cover’ Led Zeppelin iaitu Rock & Roll serta Whole Lotta Love.

Dalam persembahan itu, penganjur turut menyediakan seorang pemain dram tambahan memainkan satu lagi set dram yang disediakan.

Yazit berkata, ia sebagai persediaan jika dia mengalami masalah kesihatan.

Yazit yang sebelum ini uzur akibat masalah buah pinggang dan kencing manis dilihat cukup bertenaga ketika bermain dram.

Mungkin benar kata-katanya, muzik dan dram adalah terapi kepada masalah kesihatan yang dihidapinya.

Rampage menutup persembahan dengan lagu Isi & Kulit yang dinyanyikan bersama Search Tribute Band.

Selain peminat, beberapa rakan pemuzik turut hadir memberi sokongan antaranya Black Wings, Lord, Tom dan Eddie CRK.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 10:23 AM