GYLLENHAAL lakon watak Bauman.
GYLLENHAAL lakon watak Bauman.
Susunan Michelle Gun


Melakonkan watak Jeff Bauman dalam filem biografi Stronger bukan mudah bagi pelakon Jake Gyllenhaal yang perlu melalui proses panjang dan memenatkan untuk mengenali karakter lelaki itu.

Bauman antara mangsa bom acara Marathon Boston pada 2013 dan kejadian itu menyebabkan dia kehilangan kedua-dua kakinya.

Dalam kesungguhannya memberi penghormatan terhadap jasa Bauman, Gyllenhaal memberitahu sikap lelaki itu yang memendam keperitannya menyukarkan keadaan.

“Saya mendapati lelaki Boston suka memendam perasaan. Percubaan saya untuk meminta Bauman meluahkan perasaannya adalah sangat sukar.

“Dia bukan mahu menyembunyikan apa-apa, cuma itu memang sikapnya,” katanya.

Menurut pelakon itu, dia terpaksa mencari cara lain mengenali lelaki berkenaan dengan memerhati isyarat bukan lisan Bauman.

“Kami berjumpa beberapa kali sebelum dan ketika penggambaran bermula. Saya banyak meluangkan masa bersama dia.

“Malah, saya masih mengirim mesej dan berborak dengan dia sewaktu penggambaran berlangsung.

“Sikap Bauman membuat saya dan orang sekeliling menyukainya. Dia bukan lelaki berkarisma, tetapi seorang yang penyayang.

“Pada masa sama, jauh di sudut hati, dia menderita,” katanya.

MASLANY bawa watak Evin dalam Stronger.
MASLANY bawa watak Evin dalam Stronger.

Bercerita lanjut mengenai pertemuannya dengan Bauman, Gyllenhaal berkata, lelaki itu sudah mampu berjalan dengan baik dengan bantuan kaki palsu.

“Saya menjumpai beberapa petunjuk berguna mengenai Bauman membabitkan rupa fizikal, gerak-geri serta psikologinya yang boleh membantu saya mengembangkan wataknya dalam filem ini.

“Selain itu, saya juga meluangkan masa bersama keluarga Bauman dan mendapati mereka tabah dan mempunyai hubungan erat,”

katanya.

Filem Stronger arahan David Gordon Green adalah kisah inspirasi mengenai seorang lelaki biasa yang menjadi inspirasi kepada orang ramai.

Bauman, 27, nekad menunggu bekas teman wanita, Erin yang menyertai acara larian maraton di garisan penamat.

Namun, ketika peserta menghampiri garisan penamat, berlaku letupan bom dan kejadian itu menyebabkan ramai tercedera termasuk Bauman.

Di hospital, sebaik Bauman tersedar, dia membantu pihak berkuasa mengecam seorang suspek.

Hidup Bauman berubah dan dia melalui saat sukar, namun keluarganya dan Erin sentiasa berada di sisinya untuk memberi sokongan.

Filem Stronger turut menampilkan barisan pelakon Tatiana Maslany, Miranda Richardson dan Clancy Brown.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 12:50 PM