Pengajaran terbesar buat Ewal tidak peka perasaan peminat. FOTO Ewal
Pengajaran terbesar buat Ewal tidak peka perasaan peminat. FOTO Ewal
Norhayati Nordin


PENYANYI Ewal Ismail, 24, mengaku pernah hilang peminat gara-gara terpalit gosip percintaan dan didakwa bersikap sombong.

Ewal atau Ikhwal Hafiz Ismail berkata meskipun perkara membabitkan gosip itu sudah dua tahun berlalu tetapi impak ditinggalkan masih terkesan hingga kini.

"Terus-terang, gosip yang terpalit itu adalah kenangan pahit pernah saya alami sepanjang gigih berusaha membina nama dan karier sebagai penyanyi.

"Ia pengalaman yang memang saya tidak dapat lupakan hingga kini. Impak yang saya terima terlalu besar terutama dari aspek populariti.

"Ini kerana ketika itu saya baru menang tempat ketiga di Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) dan single Kembalikan Semula masih popular di radio," katanya.

Ewal akui bukan mudah sebenarnya untuk seseorang selebriti mengumpul peminat. Apapun, dia akur dengan dugaan yang pernah menimpa dirinya.

"Ia menjadi pengajaran terbesar kepada saya. Mungkin ketika itu, saya terlepas pandang dan tidak peka dengan perasaan peminat.

Kata Ewal, bukan hanya hilang peminat tetapi dia juga harus terima kenyataan kisah cintanya berakhir.

"Sekarang, saya masih solo dan tidak terfikir soal cinta kerana saya masih trauma dengan pengalaman hilang peminat itu.

"Disebabkan hangat bercinta, ada segelintir peminat tidak menyukainya hingga mereka buat keputusan tidak mahu menyokong termasuk mendakwa saya sombong," katanya.

Ewal juga mengambil iktibar untuk bersikap peka terhadap setiap gosip ditulis media mengenai dirinya.

Dia sedar penangan gosip kepada seseorang selebriti ada buruk dan baiknya. Justeru,yang penting harus sentiasa peka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 3:59 PM