RAKAMKAN video muzik single Girl apabila tontonan di YouTube capai sejuta.
RAKAMKAN video muzik single Girl apabila tontonan di YouTube capai sejuta.
Najiy Jefri


Selepas single terbarunya Girl mencecah lebih sejuta tontonan di laman YouTube, penyanyi Dafi akhirnya menunaikan janji kepada peminat dengan merakamkan video muzik single itu.

Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 28, berkata dia menggunakan tema santai dalam video muzik lagu yang mendapat sentuhan tiga komposer, Hael Husaini, Omar K dan Ezra Kong.

“Saya pernah berjanji kepada peminat, jika video lirik lagu ini berjaya mencecah sejuta tontonan, saya merancang untuk bikin muzik videonya. Biarpun sudah hampir setahun, pada saya belum terlambat untuk menunaikan janji berkenaan,”katanya.

Kata Dafi, meskipun pada masa ini angka sejuta tontonan itu nombor yang kecil tetapi ia adalah catatan terbaik untuk perjalanan seninya.

“Pasti ramai beranggapan jumlah sejuta itu mudah dicapai, namun ia adalah catatan membanggakan buat diri saya. Oleh itu, video muzik video berkenaan dihasilkan khas buat peminat yang bertungkus­lumus menyokong kerjaya seni saya selain tidak pernah jemu melihat kehadiran saya terus mewarnai kanvas industri hiburan,”katanya.

Menurut Dafi, menerusi video muzik lagu itu dia memilih tema santai dan menggunakan khidmat beberapa rakan rapat iaitu Cik Maggis daripada kumpulan De Fam dan Budak Joget.

Tambah bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim kelima itu, dia terharu membaca komen positif mengenai lagu terbabit.

“Pendengar menyukai lagu itu kerana liriknya mudah dihafal. Alhamdulillah lagu itu berjaya ‘menangkap’ perhatian ramai dan diterima baik. Saya harap dengan penghasilan video muziknya lagu itu akan lebih mendapat tempat di hati pendengar.”katanya.

Dalam pada itu, lagu itu turut dijadikan runut bunyi drama rantaian, Sayang Papa Saya Tak, yang menampilkan Hisyam Hamid dan Emma Maembong selaku teraju utama.

Sebelum ini Dafi pernah menghasilkan album penuh pada 2009 berjudul Seumur Hidup, disusuli album mini yang memuatkan lima dendangan pada 2014, D4F1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 10:06 AM