AZIRA ambil sisi positif untuk diterapkan dalam kerjayanya. Gambar kanan, Chris Brown.
AZIRA ambil sisi positif untuk diterapkan dalam kerjayanya. Gambar kanan, Chris Brown.
Ardini Sophia Sina


Nama Azira Shafinaz Ramlan, 26, mula dikenali sebagai anggota kumpulan De Fam tetapi kini sebagai pelakon apabila membintangi drama Mimpi Mira.

Namanya semakin menjadi sebutan apabila terus memegang teraju utama dalam Married Tapi Benci dan Mr. Donat Karamel.

Namun begitu, dia tidak melupakan fokus utamanya dalam bidang nyanyian bersama dua lagi anggota kumpulan De Fam.

Meminati bidang muzik dan lakonan, apabila ditanya artis idolanya, Azira akui sudah lama mengikuti perkembangan selebriti antarabangsa, Chris Brown.

Katanya, dia meminati anak seni itu kerana muzik yang diperjuangkan serta lakonannya. Bagaimanapun Azira enggan melihat masalah peribadi Brown dan hanya fokus pada karier seni pelakon Stomp The Yard itu.

“Apabila ditanya idola saya, memang saya mengagumi Chris Brown dan bangga dengan kejayaannya. Tapi saya hanya mengambil perkara positif untuk diterapkan dalam kerjaya.

“Saya meminati Chris Brown kerana dia juga sama seperti saya menceburi dua cabang seni iaitu nyanyian dan lakonan. Saya melihat dia bukan hanya seorang penulis lagu dan penyanyi hebat tetapi juga pelakon yang berbakat,” katanya.

Azira kagum melihat bagaimana Brown mampu seimbangkan antara lakonan dan nyanyian. Azira akui banyak lagu dan filem lakonan Brown yang dekat dengan jiwanya.

“Walaupun dia jarang berlakon, dia mampu membawa watak diberikan dengan baik. Mungkin ada yang berpendapat selebriti bermasalah seperti dia tidak perlu dijadikan idola tetapi bagi saya mudah saja yang buruk jadikan sempadan, yang baik jadikan teladan.

“Sepatutnya setiap orang mengambil perkara positif walaupun apa yang dilakukan individu berkenaan tidak boleh diterima masyarakat,” katanya.

Selain Brown, penyanyi antarabangsa lain yang menjadi kegilaan Azira ialah Beyonce. Katanya, dia cukup mengagumi vokal penyanyi yang dikenali melalui lagu Listen itu.

Mengenai artis yang banyak memberi impak dalam kerjaya seninya kini, Azira akui cara kerja dan bakat pelakon tempatan seperti Ellie Suriaty dan Umie Aida banyak memberi impak positif pada kerjayanya.

Katanya, Ellie dan Umie menjadi sumber inspirasinya apabila menjadi pelakon tetapi terkilan kerana belum berpeluang bekerja dengan mereka.

“Saya melihat semua pelakon tempatan sebagai pembakar semangat agar saya sentiasa lebih baik dalam lakonan. Dalam hal ini, saya sangat mengagumi bakat Ellie dan Umie.

“Saya berharap suatu hari nanti berpeluang berganding dengan mereka dan sentiasa menantikan peluang itu. Kalau kesempatan itu ada, saya pasti akan berusaha menimba ilmu daripada mereka.

“Saya pernah bercadang untuk masuk kelas lakonan yang dikendalikan Ellie tapi masih belum ada masa kerana sibuk dengan kerja. Sebelum ini, saya juga pernah ditawarkan berlakon dalam Mak Cun tetapi terpaksa ditolak atas komitmen lain,” katanya.

Azira akui terkilan tidak dapat menjayakan Mak Cun sekali gus berpeluang bekerja dengan Umie tetapi percaya akan ada rezeki lain yang memberikannya peluang itu.

Kata Azira, dia rasa bertuah apabila dapat berpadu suara dengan penyanyi Indonesia, Ryfell menerusi lagu Bukan Cinta Malaikat yang diangkat sebagai lagu tema filem Bukan Cinta Malaikat.

Dikenali menerusi lagu rancak bersama De Fam tetapi untuk lagu duet itu, Azira menyanyikan lagu yang jauh berbeza daripada genre bersama kumpulannya.

Katanya, lagu dengan melodi membuai perasaan itu benar-benar mencabar vokalnya apalagi dia lebih kerap menyanyikan lagu pop.

“Saya terima cabaran itu dengan hati terbuka dan berharap lagu itu dapat diterima dengan baik dan menjadi batu loncatan agar dapat menembusi pasaran Indonesia.

“Apa pun, saya tidak terlalu berharap kerana sedar bersaing dengan penyanyi sedia ada di negara itu bukannya mudah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 3:10 AM