HAEL sambut Aidilfitri dengan anak angkat perempuan berusia sebulan.
HAEL sambut Aidilfitri dengan anak angkat perempuan berusia sebulan.
Syafil Syazwan Jefri


Satu anugerah buat penyanyi Hael Husaini apabila tahun ini akan menjadi tahun pertamanya me­nyambut Aidilfitri bersama anak angkatnya.

Bayi perempuan yang kini berusia sebulan itu diberi nama Nur Helena dan menjadi rezeki baru buat penyanyi berusia 30 tahun ini.

“Saya anggap ini sebagai salah satu rezeki daripada Allah. Semakin meningkat usia, saya terdetik untuk mempunyai anak dan belajar satu lagi tanggung­jawab,” katanya.

Sejak memiliki Nur Helena, Hael sendiri mengakui kehidupannya banyak berubah.

“Sejujurnya, kehidupan saya berubah secara keseluruhan. Kalau dulu, hidup sendiri tetapi sekarang perhatian lebih kepada Nur Helena,” katanya.

Ditanya mengenai pengalamannya selama sebulan membesarkan bayi itu, Hael bersyukur kerana ramai yang turut membantu.

“Awal-awalnya agak kekok, tetapi saya bersyukur ramai membantu terutama ibu yang menjaga Helena ketika saya keluar bekerja.

“Untuk persiapan Aidilfitri pun, saya lebih teruja untuk membeli pakaian untuk anak. Yang peningnya adalah kerana tidak banyak baju yang muat memandangkan dia masih kecil,” katanya.

Aidilfitri ini, Hael akan pulang beraya di kampung halamannya di Seri Menanti, Negeri Sembilan.

“Saya tidak bercuti panjang. Insya-Allah, selepas itu saya akan mengadakan majlis rumah terbuka, namun belum ada tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kerjayanya, Hael yang kini bergerak sebagai penyanyi solo memaklumkan semuanya berjalan lancar.

“Pada awalnya, memang ada sedikit kesukaran kerana selalunya bergerak berdua. Tetapi, lama-kelamaan, semuanya berjalan lancar.

“Kini sudah masuk bulan keempat saya bergerak solo dan percaya rezeki ada di mana-mana. Mungkin sekarang adalah masa rezeki saya, jadi saya sangat bersyukur,” katanya.

Terbaru, Hael kini giat mempromosikan single terbarunya, Jampi yang semakin mendapat tempat di hati pendengar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 3:27 AM