NEETA dan Han Byul
NEETA dan Han Byul
Oleh Georgie Joseph


ESOK persoalan siapa juara baharu Big Stage 2019 bakal diketahui selepas lima peserta Han Byul, Neeta, Dinda Permata, Adzrin, dan Irfan Haris menempa tempat ke final.

Saat ini, pasti peminat setiap peserta bekerja keras mengundi penyanyi kesayangan mereka dengan harapan bakal membawa kemenangan itu.

Bagaimanapun, rata-rata tertumpu kepada persaingan sengit antara dua peserta paling konsisten iaitu Han Byul dan Neeta. Tidak dinafikan, mereka paling berpotensi menang berdasarkan prestasi persembahan yang saban minggu cukup meyakinkan.

Contohnya, Han Byul yang berasal dari Korea Selatan berjaya menambat hati juri dan penonton dengan kehebatannya menakluk pentas. Bahkan, setiap minggu persembahannya begitu memukau dan sentiasa berada di kedudukan teratas.

Tidak ketinggalan, jumlah undiannya juga sentiasa di atas dan memiliki ramai peminat sejak awal. Fenomena yang dicetuskannya begitu luar biasa apalagi dalam kalangan peminat muzik K-Pop di sini.

Bagaimanapun, kehebatan Neeta yang juga vokalis band IAmNeeta sukar disangkal apabila sentiasa tampilkan persembahan terbaik.

Juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Cakra Khan dan Judika juga sentiasa memujinya.

Meskipun sentiasa berada di tiga kedudukan teratas beberapa minggu, Neeta bagaimanapun pernah hampir berada di kedudukan tiga terbawah. Namun, dia bangkit kembali untuk memberikan persaingan sengit terutama kepada Han Byul.

Pada konsert separuh akhir minggu lalu, Siti dan Judika berkongsi mengenai keyakinan mereka bahawa Han Byul dan Neeta berpotensi menjadi juara.

Menurut Siti, dia melihat Han Byul sendiri sudah berada di liga tersendiri dan berharap peserta lain meningkatkan usaha mereka.

“Saya lihat Han Byul adalah penyanyi yang serba-serbi sudah sedia. Kekuatannya adalah bagaimana dia memberikan impak dalam persembahan setiap minggu menerusi kerja kerasnya.

“Peserta lain mungkin boleh menandinginya jika mereka memberikan usaha sebagaimana Han Byul buat. Apapun, saya berharap peserta Malaysia yang tinggal akan menunjukkan bahawa mereka juga terbaik,” katanya.

Buat Judika pula, dia menyifatkan Neeta adalah peserta yang layak untuk membawa pulang kemenangan itu juga. Selain menyentuh mengenai persembahannya, dia akui Neeta memiliki suara yang bagus.

“Neeta ada nada suara yang sangat unik dan nyanyiannya juga begitu bagus. Saya melihat saingan sangat sengit antara dia dan Han Byul.

“Yang penting, pada final nanti mereka perlu memberikan persembahan paling maksimum dan gelaran juara itu pasti dalam genggaman. Bagaimanapun, saya berharap peserta lain akan mengejutkan kami juga dengan persembahan yang luar biasa,” katanya.

Peserta lain yang dijangka mampu buat kejutan adalah Adzrin yang pernah menduduki tempat pertama satu kali pada minggu sebelumnya. Bagaimanapun, Dinda Permata dari Indonesia juga disifatkan antara pesaing kuat.

Berkongsi ramalan peribadinya, Judika meletakkan Adzrin atau Dinda berupaya menjadi tiga yang terbaik selain Han Byul dan Neeta.

“Jika tempat pertama dan kedua itu cukup memihak kepada Han Byul dan Neeta, tempat ketiga saya ramal antara Adzrin dan Dinda. Adzrin memiliki suara yang sangat bagus manakala Dinda juga sentiasa memberi persembahan terbaiknya,” katanya.

Pada persaingan penentuan ke final minggu lalu, Irfan diumumkan menjadi finalis kelima yang berjaya mara. Dua peserta iaitu Kucaimars dan Fieya Julia pula terpaksa akur selepas tersingkir akibat persembahan kurang memuaskan.

Pada Big Stage tahun lalu, penyanyi Sarah Suhairi dinobatkan juara sulung dalam program pertandingan penyanyi Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU) itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 5:20 AM