MOHD Ashraf  mengukur, memotong, menebuk dan menjahit benang bagi setiap penghasilan barangan kulit. FOTO Bernama
MOHD Ashraf mengukur, memotong, menebuk dan menjahit benang bagi setiap penghasilan barangan kulit. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hilang sumber kewangan sebagai pemain dram, hidup Mohd Ashraf Mohd Amin atau nama pentasnya Acap Roseknight berubah sepenuhnya susulan penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara pada 2019.

Tidak patah semangat, anak muda berusia 30 tahun ini memberanikan diri menceburi bidang baharu yang belum pernah diteroka iaitu menghasilkan barangan kulit pada 2021, ditambah pula dengan minatnya terhadap barangan berkenaan yang semakin mendalam, selepas mengabdikan diri dalam bidang muzik sejak 2012.

"Saya terpaksa akur dengan keadaan apabila semua persembahan pentas dibatalkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat COVID-19.

"Lagi pula, saya sangat berminat dengan kasut but kulit sehingga menjadikan kasut berkenaan sebagai koleksi peribadi sesuai dengan penampilan sebagai pemain dram agar kelihatan lebih bergaya," katanya kepada Bernama.

Sebagai permulaan, anak jati Kuala Lumpur ini bereksperimen dengan menggunakan kasut but lama miliknya yang telah rosak dan tercabut tapak bagi proses belajar menjahit.

"Saya hasilkan sebuah dompet kad yang ringkas daripada kulit kasut but itu yang disiapkan dalam tempoh beberapa hari, hanya berpandukan kepada tutorial daripada YouTube.

"Saya kemudian belajar dengan lebih mendalam bersama rakan-rakan dan pakar dalam bidang ini bertujuan memantapkan lagi kemahiran sedia ada," katanya yang pernah menyertai kumpulan muzik genre indie antaranya Temjin dan Torquesix.

Bermula secara dalam talian, Mohd Ashraf bagaimanapun nekad untuk membuka kedai barangan kulit buatan tangan dengan fokus utama adalah kepada penghasilan pelbagai jenis dompet, tali pinggang, tali gantung gitar serta beg menerusi jenama Phrygian Acraft di Malaysia Grand Bazaar di Lalaport Bukit Bintang City Centre, di sini Disember lalu.

Mohd Ashraf yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Muzik (Persembahan) daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan berkata semua produknya diperbuat daripada berbagai-bagai jenis kulit antaranya lembu, kambing, kerbau dan kuda.

"Proses menghasilkan barangan kulit membabitkan kerja-kerja mengukur, memotong, menebuk dan menjahit dengan benang dan setiap proses itu dilakukan dengan menggunakan tangan," katanya.

MOHD Ashraf menunjukkan barangan kulit yang dihasilkannya. FOTO Bernama
MOHD Ashraf menunjukkan barangan kulit yang dihasilkannya. FOTO Bernama

Mohd Ashraf berkata, setiap barangan kulit yang dihasilkan adalah berdasarkan kreativiti sendiri, mengikut gaya selain memenuhi kehendak pelanggan.

"Apa yang penting, saya sangat menitikberatkan soal ketelitian supaya hasilnya tampak kemas, berkualiti, halus serta tahan lama selain selesa dipakai," katanya yang bercadang menjahit kasut but dan jaket kulit pada masa akan datang.

Setiap produk kulit buatan tangan Mohd Ashraf dijual pada harga antara RM200 hingga lebih RM2,000 bergantung kepada jenis produk, material dan saiz yang digunakan selain ditempah khas.

Keputusannya itu ternyata berbaloi kerana Mohd Ashraf tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

Menurut Mohd Ashraf barangan yang diperbuat daripada kulit sentiasa mendapat tempat di hati penggemar produk itu kerana ia boleh membuat si pemakainya nampak lebih bergaya.

"Apabila menjual secara dalam talian, ada yang ragu-ragu dengan tahap keaslian produk yang dihasilkan. Jadi, dengan membuka kedai, mereka (pelanggan) berpeluang melihat sendiri kulit digunakan yang diperoleh daripada pembekal tempatan di Tanjung Malim, Perak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 11:30 AM