AIR Mineral LWI BLUE keluaran MC Gemilang (Natural Water) Sdn Bhd yang beroperasi Kampung Dusun. FOTO Bernama
AIR Mineral LWI BLUE keluaran MC Gemilang (Natural Water) Sdn Bhd yang beroperasi Kampung Dusun. FOTO Bernama
BERNAMA

Langkawi: Kejayaan pengusaha industri kecil dan sederhana (PKS) tempatan menjana hasil jualan tinggi perlu dijadikan sebahagian daripada aspek yang harus ditonjolkan dalam Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

Ketua Pegawai Eksekutif MC Gemilang (Natural Water) Sdn Bhd Simon Wang berkata, ia sebagai satu daripada langkah memberi inspirasi kepada PKS lain untuk mencontohi pendekatan sama bagi mengembangkan perniagaan mereka.

"KBBM adalah satu kempen sangat membantu PKS untuk memperkenal dan mempromosi produk mereka dan kami sendiri juga sertai banyak program jualan yang dianjurkan sempena kempen itu.

"Saya lihat banyak PKS yang baru bermula memerlukan bantuan dan tunjuk ajar, jadi memang digalakkan untuk mereka sertai kempen-kempen atau program jualan dan melihat pencapaian PKS lain untuk dicontohi," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, banyak produk dihasilkan PKS berpotensi menembusi pasaran lebih besar, namun tanpa pengetahuan dan dorongan mereka mungkin tidak menyedari perkara itu seterusnya perniagaan tidak dapat berkembang.

Mengulas mengenai produk keluarannya, Wang berkata syarikatnya yang beroperasi Kampung Dusun, di sini adalah pengeluar air mineral semula jadi jenama LWI BLUE diambil dari kedalaman 130 meter di bawah Gunung Raya, Langkawi.

"Air mineral ini mempunyai pelbagai mineral yang boleh mengekalkan hidrasi dan memberi manfaat untuk tubuh badan dan kita mendapat permintaan amat menggalakkan dengan pengeluaran tujuh juta liter setiap bulan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, produknya itu turut mendapat pengiktirafan sebagai GEOfood pertama di Asia kerana dihasilkan di kawasan Langkawi UNESCO Global Geopark dan turut terpilih untuk dipamerkan di Expo Dubai 2020.

KBBM peringkat kebangsaan 2021 dilancarkan Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid di Dataran Chenang, di sini, baru-baru ini, adalah platform dalam penjenamaan bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 3:59 PM