MUHAMMAD Syahir menyediakan kopi hipster untuk pelanggan.
MUHAMMAD Syahir menyediakan kopi hipster untuk pelanggan.
 BAS Mercedes tahun 70-an  diubah jadi trak makanan.
BAS Mercedes tahun 70-an diubah jadi trak makanan.
Muhamad Izzat Nasuruden

Ipoh: Siapa sangka sebuah bas berusia hampir setengah abad yang tersadai di tempat besi buruk dalam keadaan yang sangat usang, mampu diubah menjadi sesuatu yang berguna selepas dibaik pulih.

Bas jenama Mercedes keluaran tahun 70-an itu dijadikan sebuah kedai minuman kopi hipster yang terletak di tapak stesen minyak di Jalan Tambun, di bandar raya itu.

Bermula dengan dua trak makanan, Old School Coffee (OSC) kemudian mengambil langkah berani apabila melaburkan kira-kira RM30,000 untuk menggunakan bas klasik sebagai cawangan ketiganya di Perak.

Menariknya, bas berkenaan dibaik pulih tanpa enjin dan ditransformasikan seperti trak makanan yang mempunyai ruang khas untuk berniaga.

Kakitangan OSC, Muhammad Syahir Mohd Sefie berkata, pemilik jenama OSC adalah individu yang sangat meminati kenderaan klasik dan vintaj.

Menurutnya, bas berkenaan berjaya dibaik pulih selepas dibeli dari kedai besi buruk pada Ogos 2015 dan mula beroperasi di tapak stesen minyak Jalan Tambun pada Mac lalu.

“Lukisan mural di bas ini hasil kreativiti seorang pekerja OSC dan ia mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk siap.

“Menariknya, lakaran yang terdapat di bahagian badan bas ini dilukis 100 peratus menggunakan tangan dan alhamdulillah, hasilnya sangat memuaskan,” katanya, di sini, semalam.

Muhammad Syahir berkata, kebanyakan pengunjung yang berhenti di stesen minyak atau melalui Jalan Tambun pasti akan berhenti untuk mengambil gambar kenangan berikutan keunikan bas berkenaan.

Katanya, tarikan pengunjung bukan saja kerana lakaran dan bas klasik, namun kualiti minuman kopi hipster yang disediakan OSC juga adalah satu tarikan kepada penggemar kopi.

Menurutnya, OSC menyediakan 13 jenis kopi dan dua jenis kopi yang sering menjadi pilihan pengunjung ialah kopi Vietnam serta kopi 434.

“Kopi Vietnam ini diimport khas dari Vietnam kerana ia mempunyai rasa dan bau yang sangat sedap. Stok kopi ini sering kali habis dalam masa dua minggu.

“Bagi kopi 434, ia dibawa khas dari Johor dan mempunyai keenakannya yang tersendiri,” katanya.

Muhammad Syahir berkata, kira-kira 60 cawan kopi berjaya dijual sehari dengan harga bermula RM4 hingga RM6 dan jualan mampu mencecah 120 cawan sehari pada musim cuti sekolah serta hujung minggu.

Menurut Muhammad Syahir, OSC diusahakan pasangan suami isteri iaitu Mohd Sidek Kassim, 49, dan Azura Abdullah, 48, yang merangka untuk turut menjual makanan selain kopi kerana terdapat permintaan daripada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 9:39 AM