LAZADA menyertai kempen Beli Barangan Malaysia dan Penjana Shop Malaysia Online bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana negara.
LAZADA menyertai kempen Beli Barangan Malaysia dan Penjana Shop Malaysia Online bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana negara.

LAZADA menyertai kempen Beli Barangan Malaysia dan Penjana Shop Malaysia Online yang dianjurkan kerajaan bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Sehubungan itu, ia bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menurut kenyataan bersama, kedua-dua kempen ini akan berlangsung serentak di Lazada, masing-masing sehingga 31 Disember dan 30 September.

Pengguna akan menerima sehingga RM29 dalam kredit dan baucar untuk pengguna Dompet Lazada, RM8 dalam baucar penghantaran percuma dan diskaun sehingga 70 peratus untuk jenama tempatan popular.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lazada Malaysia, Leo Chow berkata, platform e-dagang itu menjadi destinasi pilihan bagi usahawan yang mahu berkembang kerana ia mampu mengukuhkan perniagaan mereka.

"Lazada mempunyai lebih 320,000 PKS di seluruh negara dengan peningkatan 200 peratus dalam penjual tempatan baharu pada tempoh separuh pertama tahun ini.

"Lazada memandang ke hadapan untuk bekerjasama dengan KPDNHEP dan MDEC bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi digital Malaysia melalui inisiatif Beli Barangan Malaysia dan Penjana Shop Malaysia Online.

"Kami berada di hadapan rakyat Malaysia dengan memberi ganjaran kepada pembeli dalam talian melalui penjimatan serta insentif untuk menggiatkan semula ekonomi domestik, di samping membolehkan PKS tempatan mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia yang dipercepatkan," katanya.

Menurut Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi, perintisan perkongsian Beli Barangan Malaysia dengan Lazada pada tahun lalu menghasilkan peningkatan sebanyak 3,800 peratus dalam sumbangan daripada penjual tempatan di platform berkenaan kepada ekonomi domestik.

Sambutan yang menggalakkan ini merangsang kementerian untuk terus melabur dalam memperkasakan penjual tempatan secara dalam talian melalui platform beli-belah seperti Lazada.

"Pengukuhan perkongsian awam-swasta adalah penting untuk memudahkan transformasi digital perniagaan tempatan terutama yang membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 7:01 AM