ALBINO koi short body ribbon ballo antara ikan gapi yang sukar ditemui di negara ini.
ALBINO koi short body ribbon ballo antara ikan gapi yang sukar ditemui di negara ini.
Muhamaad Razis Ismail

Dahulu, ikan gapi lebih dikenali sebagai ikan longkang atau parit dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Persepsi terhadap ikan ini yang kononnya boleh diperoleh dengan harga murah masih lagi 'menebal' sehingga kini.

Bagaimanapun, tahukah anda, ikan gapi ini bukan sahaja dijadikan hobi malah boleh menjana pendapatan lumayan?

Apa tidaknya, terdapat ikan jenis ini yang memiliki gred tinggi atau sukar ditemui boleh mencecah sehingga RM2,500 sepasang.

Jadi, tidak hairanlah di luar negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam, penternakan ikan gapi sudah menjadi industri utama.

Menyedari perkara itu, seorang kontraktor yang pada mulanya memelihara ikan gapi sekadar untuk mengisi masa lapang sejak setahun lalu, mula menjadikannya sebagai sumber pendapatan sampingan.

Bermula dengan hanya memiliki beberapa ikan gapi, kini Sudirman Sahuk, 35, sudah memelihara 1,000 ikan gapi membabitkan 60 'strain' (jenis) di kediamannya di Gombak, Selangor.

Antara jenis ikan gapi yang dimiliki termasuk Albino koi short body ribbon ballon, chocolate moscow, silverado short body ribbon dan fullgold short body.

Semua spesies ikan ini, diimport dari luar negara dengan harga yang cukup tinggi sama ada dipelihara sendiri, dibiak dan dijual kepada peminat ikan gapi di seluruh negara.

WAD 'bersalin' untuk ikan gapi.
WAD 'bersalin' untuk ikan gapi.

Sudirman mengakui memelihara ikan gapi terapi kepadanya kerana memiliki nilai sentimental yang tersendiri.

"Melihat bentuk badan dan warna menjadi terapi kepada peminatnya. Malah melihat ikan yang sedang berenang, bagaikan membuat persembahan tarian cukup memberi ketenangan kepada sesiapa.

"Hinggakan ada yang sanggup berbelanja besar bagi memiliki ikan ini sama ada untuk dipelihara di rumah," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Jelasnya, melihat potensi besar, dia bersama dua rakan menternak ikan gapi secara serius sebelum dijual untuk pasaran tempatan.

"Pada mulanya, saya agak bimbang berdepan risiko kerugian dengan membawa masuk ikan dengan harga mencecah ribuan ringgit dari luar negara kerana tiada permintaan.

"Namun sebaliknya, berlaku apabila ikan jenis ini mempunyai peminatnya yang tersendiri. Alhamdulillah biarpun perniagaan ini dijalankan secara separuh masa, saya bersyukur, ia dapat menjana pendapatan sampingan," kataya.

Menurutnya, penjagaan ikan gapi cukup mudah kerana haiwan tidak cerewet.

BERSAMA dua rakan yang mempunyai minat sama.
BERSAMA dua rakan yang mempunyai minat sama.

"Apa yang penting adalah pastikan kualiti air sentiasa berada dalam keadaan baik. Saya nasihatkan gunakan alat TBS yang boleh menyukat suhu air supaya ia dapat sesuaikan dengan cuaca panas dan sejuk.

"Untuk makanan, lebih baik gunakan artemia kerana ikan gapi suka makanan yang 'hidup' sekali gus dapat mengelakkan air cepat kotor," katanya.

Ditanya mengenai kesedaran masyarakat terhadap ikan gapi, dia berpendapat masih ada segelintir yang memandang rendah terhadap ikan jenis ini.

"Perkara paling mencabar adalah untuk membuka minda masyarakat bahawa ikan gapi bukan ikan longkang. Jadi, tidak hairanlah mereka tidak boleh terima apabila ikan ini dijual pada harga tinggi.

"Oleh itu, perkara pertama perlu dibuat adalah berikan kesedaran terhadap ikan gapi.

"Inilah yang saya cuba buat sekarang untuk buktikan bahawa ikan gapi boleh menjadi sumber pendapatan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baharu di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 6:20 AM