Hidayatidayu Razali


KEKURANGAN diri tidak menjadikan seorang lelaki untuk terus berpeluk tubuh, malah bangkit berusaha dengan mencari pendapatan sendiri bagi menjamin kehidupan di masa hadapan.

Sebagai mengisi masa lapang, Nik Abdul Muiz Nik Man, 32, yang juga orang kurang upaya (OKU) lumpuh dari bahagian pinggang hingga ke bawah mencari alternatif memelihara ikan laga dan gapi sejak tiga tahun yang lalu.

Nik Abdul Muiz berkata, pada awalnya dia memelihara ikan laga dan gapi itu hanya minat untuk mengisi masa lapang sahaja, namun kini tidak menyangka mampu menjana pendapatan lumayan.

Mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nik Abdul Muiz berkata, pada awalnya dia memelihara pelbagai jenis ikan laga dan gapi bermula pada 2019.

Katanya, ketika itu pelbagai jenis ikan laga termasuk Halfmoon Betta yang dipelihara, namun penjagaannya sangat rumit sebelum dia beralih memelihara ikan gapi sepenuhnya.

"Saya mengambil keputusan memelihara ikan gapi kerana penjagaannya amat mudah dan sesuai dengan keadaan diri saya yang mempunyai pergerakan agak terbatas.

"Alhamdulillah, ikan yang saya pelihara ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat apabila mereka membelinya menerusi dalam talian.

"Sebaik menerima pesanan, saya akan membungkus ikan ini dengan baik untuk memastikan ia dapat bertahan paling kurang dalam masa seminggu hingga dua minggu selain sampai ke tangan pembeli dengan selamat," katanya yang tinggal di Kampung Kedondong, Kota Jembal, Kota Bharu, Kelantan.

POKOK peace lily yang digunakan untuk mengurangkan kandungan ammonia dalam air.
POKOK peace lily yang digunakan untuk mengurangkan kandungan ammonia dalam air.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, penghantaran ikan itu dibuat di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak kerana kekangan jarak.

Katanya, ada permintaan daripada peminat di Sabah dan Sarawak, namun dia bimbang jika ikan yang dihantar tidak sampai dalam masa ditetapkan.

"Jika di Semenanjung, ikan akan sampai dalam masa ditetapkan dan Alhamdulillah setakat ini semua penghantaran tidak mempunyai masalah.

"Pelanggan juga berpuas hati apabila mendapat pesanan mereka dalam keadaan yang baik dan ikan dikehendaki sampai dengan selamat," katanya.

ANTARA ikan gapi peliharaan Nik Abdul Muiz.
ANTARA ikan gapi peliharaan Nik Abdul Muiz.

Nik Abdul Muiz berkata, sebelum ini hidupnya seperti orang normal yang lain, namun sebaik tamat belajar pada 2016 dia diserang demam panas selama tiga minggu menyebabkan kehidupannya berubah 100 peratus.

Katanya, akibat demam panas itu berlakunya jangkitan kuman di otak dan seterusnya dia dikesan menghidap penyakit saraf tunjang.

"Rentetan itu, keadaan kesihatan saya kurang memuaskan sebelum saya disahkan lumpuh pada 2017 dan hanya mampu bergerak dengan menggunakan kerusi roda.

"Ekoran penyakit itu juga, mata kanan saya buta, namun saya bersyukur kerana masih diberi nikmat oleh Allah SWT untuk melihat kerana mata sebelah kiri saya masih baik dan boleh bekerja untuk mencari pendapatan.

"Susulan itu, saya mengambil keputusan memelihara ikan laga untuk menjana pendapatan dari rumah dan saya gembira kerana percubaan pertama ini membuahkan hasil," katanya.

MEMELIHARA ikan gapi amat mudah dan sesuai dengan keadaan Nik Abdul Muiz yang mempunyai pergerakan agak terbatas.
MEMELIHARA ikan gapi amat mudah dan sesuai dengan keadaan Nik Abdul Muiz yang mempunyai pergerakan agak terbatas.

Menurutnya, mungkin disebabkan minatnya yang suka memelihara ikan laga dan gapi sejak kecil menyebabkan dia tahu untuk menjaga ikan berkenaan.

Jelasnya, untuk memastikan ikan ini dapat membiak dengan baik dan tidak mati, dia menukar air sebanyak dua kali seminggu.

"Air ikan perlu ditukar secara kerap untuk memastikan ia dapat hidup dan membiak dengan baik kerana jika air kotor akan meningkat kadar kematian ikan.

"Saya juga menggunakan tumbuh-tumbuhan seperti peace lily untuk mengurangkan kandungan ammonia dalam air dan memastikan air sentiasa bersih.

"Pada masa sama, saya akan mengasingkan anak ikan berusia tiga minggu daripada baka sama untuk menjaga kualiti. Jika tidak diasingkan, mereka akan membiak dan menghasilkan ikan yang tidak cantik dan kurang berkualiti.

NIK Abdul Muiz dibantu ayahnya, Nik Man untuk menjaga ikan gapi.
NIK Abdul Muiz dibantu ayahnya, Nik Man untuk menjaga ikan gapi.

"Oleh itu, saya terus mengasingkan mereka untuk memastikan ikan yang saya pelihara ini dapat membesar dengan baik dan berkualiti," katanya.

Menurutnya, dia juga tidak menjadikan kekurangan diri sebagai halangan untuknya berusaha kerana dengan kekurangan itu dia dapat mencari wang sendiri dengan hanya bekerja dari rumah.

Tambahnya, dia juga bersyukur kerana ibu, Hasnah Abdul Rahman, 62, dan ayah, Nik Man Nik Ahmad, 60, adik-beradik, rakan-rakan dan pelanggan sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Menurutnya, tanpa mereka, dia tidak mampu untuk berusaha sendiri, namun dengan bantuan mereka ini memberi semangat kepadanya untuk meneruskan usaha ini sehingga berjaya.

"Saya juga bersyukur kerana di belakang rumah kedua-dua ibu bapa ini mempunyai laman yang membolehkan saya menempatkan ikan peliharaan di lokasi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 7:00 AM